Southern Cable raih kontrak tambahan RM403.6 juta daripada TNB, tempahan melebihi RM1 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Southern Cable raih kontrak tambahan RM403.6 juta daripada TNB, tempahan melebihi RM1 bilion

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 3 Julai - Southern Cable Group Bhd memperoleh kontrak tambahan bernilai RM403.6 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi membekalkan kabel kuasa bawah tanah dan konduktor, sekali gus meningkatkan nilai tempahan dalam tangan kumpulan kepada lebih RM1 bilion.

 

Kontrak yang dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Southern Cable Sdn. Bhd. itu merupakan lanjutan kepada kontrak asal selama setahun yang diperoleh pada Februari 2025.

 

Kontrak berkenaan sah bagi tempoh setahun sehingga 11 Ogos 2027.

 

Pengarah Urusan Southern Cable, Tung Eng Hai berkata, kejayaan memperoleh kontrak tambahan daripada TNB mencerminkan permintaan berterusan terhadap kabel kuasa serta mengesahkan keupayaan teknikal syarikat dalam memenuhi piawaian kebolehpercayaan yang ketat bagi grid nasional.

 

"Kontrak tambahan ini membuktikan keupayaan kami untuk terus memenuhi keperluan infrastruktur tenaga negara dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai pembekal utama dalam industri kabel kuasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, tempahan dalam tangan melebihi RM1 bilion itu turut memberikan keterlihatan pendapatan kepada kumpulan sehingga 2027.

 

Keuntungan Bersih Meningkat

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, keuntungan bersih Southern Cable meningkat 21.02% kepada RM33.16 juta berbanding RM27.40 juta pada tempoh sama tahun lalu, didorong oleh peningkatan jualan terutama dalam segmen kabel dan wayar kuasa.

 

Perolehan kumpulan pula meningkat 10.71% kepada RM432.66 juta daripada RM390.81 juta yang dicatatkan setahun sebelumnya.

 

Segmen kabel dan wayar kuasa menyumbang 90.37% daripada jumlah hasil kumpulan.

 

Dari segi geografi, pasaran domestik kekal sebagai penyumbang utama pendapatan syarikat dengan menyumbang 84.40% daripada jumlah perolehan.

 

Segmen luar negara yang merangkumi baki 15.60% pula dipacu terutamanya oleh pertumbuhan eksport yang kukuh ke Amerika Syarikat.

 

Saham Southern Cable ditutup susut dua sen atau 0.85% kepada RM2.34 semalam, sekali gus meletakkan nilai pasaran kumpulan pada RM2.95 bilion. - DagangNews.com