KUALA LUMPUR 3 Julai – MBSB Research mengekalkan Axis Real Estate Investment Trust (REIT) sebagai saham pilihan dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM2.17 sesaham.
Menurutnya, penilaian itu dipacu prospek pertumbuhan yang terus kukuh hasil pengembangan portfolio aset industri, kenaikan kadar sewa serta pulangan pengagihan kasar menarik iaitu mencecah sekitar 5.3%.
Firma penyelidikan itu berkata, hasil pertemuan bersama pihak pengurusannya mengukuhkan pandangan positif pertumbuhan dana pelaburan hartanah itu akan disokong penambahan aset industri berkualiti.
"Justeru kami mengekalkan unjuran hasil Axis REIT memandangkan prospek keuntungan dijangka terus dipacu oleh kadar semakan sewa yang positif dan strategi pengembangan aset," jelas MBSB Research.
Ujarnya, syarikat itu sedang melaksanakan beberapa projek pembangunan bagi membuka nilai aset yang sedia ada, termasuk menaik taraf Axis Industrial Facility 1 @ Northport berkeluasan 3.6 hektar.
Katanya, sebuah bangunan di situ disewakan pada separuh kedua 2026, manakala satu lagi dijangka meraih penyewa pada separuh pertama 2027 dengan sasaran utama terdiri daripada syarikat pembuatan.

Selain itu tambah MBSB Research, pembangunan Axis Facility 4 di Bukit Raja dijangka siap pada separuh pertama 2027 sebelum disewakan oleh Axis REIT mulai tempoh separuh kedua tahun yang sama.
"Kumpulan ini turut berjaya meningkatkan kadar penghunian Bukit Raja Distribution Centre kepada 77%, berbanding 16% pada suku pertama tahun kewangan 2026 sejak dibuka akhir 2025," jelasnya lagi.
Aset tersebut katanya kini menikmati kadar sewaan sekitar RM1.80 sekaki persegi, iaitu peningkatan kira-kira 25% hingga 30% berbanding kontrak yang terdahulu selepas tamatnya tempoh pajakan lama.
Tambah MBSB Research, penyewa Axis REIT dalam sektor logistik dan pembuatan dilihat tidak banyak terjejas akibat kenaikan kos bahan api kerana caj tambahan itu dipindahkan kepada pelanggan.
Dalam aspek kelestarian, kumpulan itu menyasarkan sekurang-kurangnya sebuah hartanah memperoleh Pensijilan Bangunan Hijau setiap tahun bagi meningkatkan daya tarikan aset kepada penyewa.
"Bagaimanapun, pihak pengurusan berpandangan pensijilan ini tidak semestinya membolehkan kadar sewa dinaikkan kerana tiada hubungan langsung dengan caj sewaan," ujarnya. - DagangNews.com








