Sime Darby Property miliki dana mencukupi tambah projek perindustrian - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sime Darby Property miliki dana mencukupi tambah projek perindustrian - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 JulaiSime Darby Property Bhd masih mempunyai kapasiti untuk memperluaskan pembangunan projek perindustrian menerusi New Economy Venture Fund (NEVF) walaupun sebahagian besar dana itu akan digunakan bagi membiayai dua aset utama.

 

RHB Research berkata, NEVF yang diumumkan bulan lalu telah berjaya memperoleh sukuk hijau bernilai RM2.6 bilion, sekali gus meningkatkan jumlah saiz dana kepada RM3.85 bilion.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kira-kira 85% daripada dana berkenaan akan digunakan bagi membiayai pembangunan pusat data kedua (DC2) serta gudang automatik milik Mydin Mohamed Holdings (MYDIN).

 

"Walaupun dua aset tersebut akan menggunakan sebahagian besar dana, Sime Darby Property masih mempunyai kapasiti untuk melaksanakan lebih banyak projek perindustrian pada masa hadapan," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

 

Dalam jangka panjang, RHB Research menjangkakan Sime Darby Property akan menubuhkan lebih banyak dana khusus, termasuk dana pembangunan tanah bagi membiayai pembangunan pada peringkat awal.

 

Langkah itu diyakini akan membolehkan syarikat mengkomersilkan pembangunan hartanah dan aset di bawah pengurusannya dengan lebih berkesan melalui peranan sebagai penyedia perkhidmatan kepada dana-dana tersebut.

 

Menurut firma penyelidikan itu, strategi berkenaan berpotensi meningkatkan sumbangan pendapatan berasaskan yuran, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan daripada jualan hartanah semata-mata.

 

Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan saranan "Beli" terhadap saham Sime Darby Property, namun menyemak turun harga sasaran kepada RM2.10 sesaham daripada RM2.15 sebelum ini.

 

Pelarasan itu mengambil kira pegangan efektif Sime Darby Property yang lebih rendah, iaitu 50.1% dalam projek DC2 selepas penubuhan NEVF.

 

Bagaimanapun, kesan tersebut dijangka diimbangi oleh potensi keuntungan daripada pelupusan tanah apabila aset berkaitan disuntik ke dalam dana berkenaan, menurut firma penyelidikan itu. - DagangNews.com