HLIB: Kitaran pertumbuhan 3 tahun sektor infrastruktur tenaga sokong kontraktor elektrik dan pengeluar kabel | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB: Kitaran pertumbuhan 3 tahun sektor infrastruktur tenaga sokong kontraktor elektrik dan pengeluar kabel

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 3 Julai – Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan penarafan 'overweight' ke atas sektor infrastruktur tenaga, dengan menjangkakan kitaran pertumbuhan kukuh dalam tiga tahun.

 

Menurut firma penyelidikan tersebut, perkembangan positif berkenaan bakal menyokong peningkatan pendapatan kontraktor mekanikal dan elektrikal (M&E) serta pengeluar kabel tenaga tempatan.

 

Kitaran semasa dilihat lebih memihak kepada syarikat penyedia infrastruktur voltan sederhana hingga voltan tinggi (MV-HV), berikutan keperluan besar bagi menaik taraf rangkaian grid elektrik negara.

 

"Justeru, kami masih mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham MN Holdings Berhad dan Southern Cable Group, selain memulakan liputan sulung ke atas EIPower dan UUE Holdings dengan syor 'beli'," jelas HLIB.

 

Ujarnya, penilaian itu juga disokong peningkatan perbelanjaan modal (capex) Tenaga Nasional Berhad (TNB), permintaan pesat pembangunan pusat data (DC) dan pertambahan projek berkaitan tenaga solar.

 

Katanya, pelaburan TNB dalam rangkaian penghantaran elektrik akan membuka peluang projek, serta dipacu pertambahan perjanjian bekalan elektrik (ESA) dan pembinaan pencawang masuk utama (PMU).

 

sektor tenaga_DagangNews2026

 

Tambah HLIB, pelaksanaan projek solar berskala besar (LSS) akan menjadi pendorong kontrak dalam tempoh terdekat, dan skim tertentu berpotensi memanjangkan kitaran pertumbuhan sektor mulai 2027.

 

"Kami menilai manfaat terbesar kitaran ini akan dinikmati kontraktor M&E dan pengeluar kabel yang memerlukan kepakaran teknikal berbanding pemain mekanikal, elektrikal dan paip (MEP)," ujarnya.

 

Pembangunan DC dan peningkatan capex TNB jelasnya, turut mengubah komposisi projek kepada kerja-kerja voltan tinggi yang lazim menawarkan nilai kontrak besar serta margin keuntungan lebih baik.

 

HLIB menjangkakan peluang projek terus berkembang sehingga separuh kedua 2026 dan tahun kewangan 2027, dengan lebih lima projek pencawang 500kV diunjur dapat ditawarkan dalam tempoh berkenaan.

 

Saiz projek yang semakin besar menyebabkan keperluan modal kerja meningkat, sekali gus memberikan kelebihan kepada syarikat tersenarai dengan mempunyai kedudukan kewangan lebih kukuh bersaing.

 

"Kami mengekalkan penarafan sektor ini dengan memilih syarikat ada aliran kontrak jelas, keupayaan pelaksanaan kukuh dan akses pembiayaan sebagai penerima manfaat utama kitaran," katanya. - DagangNews.com