KUALA LUMPUR 3 Julai – Kejohanan Mamak Lejen 2026 anjuran Infinix melabuhkan tirai dengan sambutan luar biasa, menghimpunkan komuniti e-sukan Malaysia dalam satu pesta Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang penuh aksi, emosi dan persaingan sengit.
Pengarah Pemasaran Infinix Malaysia, Li Yang berkata Mamak Lejen 2026 menjadi bukti jelas komitmennya dalam mengangkat bakat muda serta memperkukuh ekosistem e-sukan negara yang semakin berkembang pesat dalam kalangan generasi muda ketika ini.
Menurutnya, penganjuran ini diwujudkan sebagai platform untuk membuka peluang kepada pemain baharu menunjukkan potensi sebenar mereka dalam suasana pertandingan yang lebih kompetitif, profesional dan penuh cabaran.
“Sambutan luar biasa yang diterima turut mencuri perhatian apabila sebanyak 195 pasukan dengan 975 pemain telah menyertai kejohanan ini, merebut hadiah keseluruhan bernilai RM23,800 dalam persaingan yang cukup sengit.
“Tidak terhenti di situ, Mamak Lejen 2026 turut mencatatkan impak digital yang sangat besar apabila siaran langsung kejohanan ini berjaya meraih 2.69 juta tontonan, membuktikan minat terhadap e-sukan di Malaysia berada pada tahap yang sangat memberangsangkan,” katanya dalam satu kenyataan.


Di lokasi acara pula, suasana tidak kurang hebatnya apabila lebih 6,190 pengunjung hadir memeriahkan program sepanjang penganjuran, menjadikannya antara acara komuniti yang paling hangat dan mendapat sambutan tinggi pada tahun ini.
Beliau menjelaskan Mamak Lejen 2026 bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi satu usaha berterusan untuk membina laluan lebih jelas kepada bakat muda agar mereka dapat berkembang dalam ekosistem e-sukan yang lebih tersusun dan mampan.
“Acara ini turut menyerlahkan kekuatan kolaborasi industri apabila ia disokong oleh MPL Malaysia sebagai rakan kejohanan rasmi, IG Team sebagai rakan e-sukan rasmi serta End Game Network sebagai rakan media rasmi.
“Selain itu, kerjasama bersama Todak Academy, Harimau Malaya dan TikTok Shop turut memainkan peranan penting dalam memperluaskan jangkauan serta membuka lebih banyak peluang kepada komuniti gaming dan pencipta kandungan di Malaysia,” katanya.
Apa yang menjadikan Mamak Lejen 2026 lebih istimewa ialah konsepnya yang diinspirasikan daripada budaya mamak di Malaysia, satu simbol gaya hidup sosial rakyat yang santai, mesra dan penuh interaksi.



Gabungan elemen ini menjadikan ia lebih dekat dengan kehidupan seharian dan menjadikannya lebih mudah diakses, lebih inklusif dan lebih dekat di hati generasi muda.
Tambahnya, pendekatan ini bukan sekadar penganjuran acara, tetapi sebahagian daripada visi mereka untuk membina hubungan yang lebih bermakna dengan komuniti pengguna muda melalui minat dan gaya hidup mereka.
Dalam masa yang sama, Infinix turut mempamerkan kekuatan teknologi gaming mereka melalui telefon pintar Infinix GT 50 Pro yang direka khas untuk memberikan pengalaman permainan yang lebih lancar, responsif dan imersif kepada pemain kompetitif.
Beliau berkata Mamak Lejen 2026 adalah bukti usaha berterusan dalam menyokong komuniti e-sukan mampu membuka lebih banyak ruang kepada bakat muda untuk menyerlah di pentas lebih besar.
“Infinix akan terus komited untuk melaksanakan lebih banyak program berteraskan komuniti pada masa hadapan demi memperkukuh ekosistem e-sukan Malaysia yang sedang berkembang pesat,” katanya. - DagangNews.com








