KUALA LUMPUR 3 Julai - AirAsia bersedia melaksanakan fasa pertumbuhan baharu dengan menawarkan tambang penerbangan yang lebih rendah, memperluaskan rangkaian laluan dan meningkatkan kesalinghubungan serantau susulan penurunan harga minyak serta keadaan pasaran yang semakin stabil.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, faktor tersebut mewujudkan persekitaran operasi yang lebih kondusif untuk syarikat penerbangan tambang rendah itu mempercepatkan pelan pengembangannya selepas melalui tempoh pemulihan pascapandemik Covid-19.
"Perang telah berakhir (semoga berkekalan), harga minyak semakin menurun dan AirAsia kini bersedia untuk membuat kemunculan semula secara besar-besaran.
"Pelanggan boleh menjangkakan tambang yang lebih rendah, rangkaian laluan yang lebih luas serta kesalinghubungan yang lebih baik apabila AirAsia mempercepatkan pelan pertumbuhannya," katanya lapor NST.
Fernandes berkata, AirAsia kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh selepas berjaya membina semula operasinya dengan memulihkan kapasiti penerbangan, memperluaskan armada serta meningkatkan rangkaian penerbangan sejajar dengan pemulihan permintaan perjalanan di rantau Asia.
Sokongan Rakan Niaga Strategik
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan syarikat mengharungi tempoh sukar ketika pandemik banyak dipengaruhi sokongan rakan niaga strategik yang terus bersama AirAsia ketika industri penerbangan berdepan krisis.
Sebagai contoh, beliau berkata, hubungan jangka panjang dengan GE Aerospace telah terjalin sejak AirAsia memulakan operasi apabila syarikat pembuat enjin itu memberi sokongan pada peringkat awal pembangunan syarikat penerbangan tersebut.
Menurutnya, selepas AirAsia membeli lebih 1,000 enjin daripada GE Aerospace, syarikat itu menghadiahkan sebuah enjin yang kini masih dipamerkan di pintu masuk ibu pejabat AirAsia sebagai simbol kerjasama erat antara kedua-dua pihak.
Fernandes berkata, pengalaman sepanjang pandemik mengajarnya bahawa kejayaan sesebuah syarikat bukan sahaja bergantung kepada prestasi operasi, malah kepada kekuatan hubungan dengan rakan niaga yang kekal memberikan sokongan ketika berdepan cabaran.
"Perkongsian sebenar dibina melalui perjuangan bersama selama bertahun-tahun dan saling mempercayai. Anda tidak membina sebuah empayar syarikat penerbangan secara bersendirian, sebaliknya bersama pihak yang yakin terhadap daya tahan dan kemampuan anda untuk bangkit semula," katanya.
AirAsia kini memberi tumpuan untuk memanfaatkan persekitaran kos yang lebih baik, khususnya penurunan harga bahan api, bagi meningkatkan daya saing tambang selain memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran penerbangan serantau yang terus berkembang. - DagangNews.com








