KUALA LUMPUR 3 Julai – Sorento Capital Berhad mampu mencatat pertumbuhan hasil melebihi 10% pada tahun kewangan 2028 (FY28), disokong margin keuntungan kasar yang amat stabil pada paras 44%.
Perkembangan positif tersebut mendorong TA Securities memulakan liputan ke atas syarikat berkenaan dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) untuk 12 bulan akan datang iaitu 77 sen sesaham.
Firma penyelidikan itu berkata, syarikat tersebut merupakan antara peneraju dalam pemasaran kelengkapan bilik air dan dapur di Malaysia, selain model perniagaan ringan aset yang pesat.
"Kekuatan utama Sorento terletak pada kedudukan pasarannya yang kukuh, margin keuntungan sihat serta strategi pertumbuhan jangka panjang mampu mewujudkan nilai kepada pemegang saham," jelasnya.
Berdasarkan kepada penilaian positif itu, TA Securities mengunjurkan hasil syarikat ditubuhkan pada 2005 itu berkembang masing-masing 3.6% pada FY26, disusuli 9.4% pada FY27 dan 10.1% pada FY28.
Tambah firma itu, peningkatan pendapatan ini dijangka mendorong pertumbuhan keuntungan sebelum cukai (PBT) terlaras sebanyak 16.3% bagi FY26, diikuti 11.4% pada FY27 dan kira-kira 13.3% pada FY28.

Unjuran berkenaan disokong andaian pertumbuhan jualan sehingga 12%, selain kontrak baharu daripada pelanggan Sorento bernilai RM60 juta pada FY26 serta RM80 juta masing-masing bagi FY27 dan FY28.
"Kami turut mengandaikan kadar pertukaran stabil pada 58 sen bagi setiap yuan China, membolehkan ia mengekalkan margin keuntungan kasar sekitar 44% sepanjang tempoh unjuran," kata TA Securities.
Selain itu, sumbangan siri produk paip 'Sorento Lite' diunjur kecil pada FY26 dan FY27, manakala syarikat dijangka mengekalkan dasar pembayaran dividen minimum sebanyak 30% daripada keuntungan.
Menurutnya, TP sesaham kumpulan itu ditentukan berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 18 kali bagi pendapatan sesaham (EPS) tahun kalendar 2027 dengan penarafan ESG neutral.
TA Securities berpandangan penilaian ini masih lagi menarik kerana didagangkan pada diskaun, mengambil kira faktor seperti saiz permodalan pasaran, hasil dividen dan pulangan ke atas ekuiti (ROE) yang kecil.
"Bagaimanapun, kami mengingatkan Sorento masih berdepan risiko turun naik nilai mata wang kerana sebahagian besar bekalan dari China, selain persaingan sengit pasaran," katanya. - DagangNews.com








