Aliran keluar dana asing catat RM6.19 bilion pada 1H26 akibat ketidaktentuan tarikh PRU16 – Malacca Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aliran keluar dana asing catat RM6.19 bilion pada 1H26 akibat ketidaktentuan tarikh PRU16 – Malacca Securities

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 3 Julai – Ketidaktentuan tarikh Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dibimbangi memberi tekanan kepada aliran dana asing dalam tempoh terdekat, dengan jumlah pengeluaran bersih sebanyak RM6.19 bilion direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama 2026, menurut Malacca Securities.

 

Firma penyelidikan itu memaklumkan, pelabur asing merekodkan pengeluaran bersih sebanyak RM5.12 bilion pada suku kedua 2026, berbalik daripada aliran masuk sebanyak RM1.07 bilion pada suku pertama 2026.

 

Pengeluaran tersebut berlaku seiring dengan penurunan marginal 1.6% Indeks FBM KLCI, yang turut jatuh di bawah paras psikologi 1,700 mata.

 

Malacca Securities berkata sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati susulan spekulasi bahawa PRU16 mungkin diadakan sama ada pada akhir tahun ini atau pada 2027, sekali gus mewujudkan ketidaktentuan jangka pendek dalam pasaran ekuiti. Namun begitu, ia menegaskan bahawa kesan yang lebih luas terhadap pasaran dijangka terhad.

 

Firma itu menambah, walaupun kitaran politik lazimnya mencetuskan turun naik pasaran, pemacu pelaburan utama Malaysia kekal sebahagian besarnya terlindung daripada hasil pilihan raya.

 

“Tonggak struktur yang paling penting ialah NETR, NIMP, kitaran super AI, serta pembangunan jangka panjang pusat data dan infrastruktur tenaga yang merupakan pelan berbilang tahun, tidak bersifat partisan, dengan peruntukan bajet dan pelaksanaan yang sedang berjalan,” kata firma penyelidikan itu.

 

“Siapa pun yang menang, aliran perbelanjaan modal tidak berubah. PRU16 hanya mencetuskan kebisingan jangka pendek tetapi tiada gangguan struktur. Pelabur disarankan untuk kekal fokus kepada pendapatan syarikat, bukan pilihan raya,” kata Malacca Securities.

 

Walaupun berlaku pengeluaran dana asing, Malacca Securities berkata pelabur institusi domestik kekal menyokong, sekali gus membantu menstabilkan keadaan pasaran.

 

Dari sudut faktor global, ia menekankan bahawa prestasi kukuh pasaran ekuiti Amerika Syarikat terus menarik aliran modal, khususnya ke dalam sektor berkaitan kecerdasan buatan (AI), sekali gus menyumbang kepada turun naik pasaran sedang pesat membangun.

 

Ringgit Menyusut

Sementara itu, dalam pasaran mata wang, ringgit mengalami turun naik ketara pada suku kedua 2026, didagangkan antara RM3.90 hingga RM4.15 berbanding dolar AS sebelum melemah lagi ke julat RM4.06–RM4.15 pada akhir Jun.


 

Xi

 


Firma penyelidikan itu menyatakan kelemahan tersebut berpunca daripada jangkaan pendirian Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang lebih hawkish di bawah kepimpinan baharu, dengan inflasi yang masih tinggi mengehadkan prospek penurunan kadar faedah dalam tempoh terdekat.

 

Kadar dana Fed kekal pada 3.5%–3.75%, manakala Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75%.

 

Malacca Securities berkata perbezaan kadar faedah terus memberi tekanan kepada ringgit, namun menjangka mata wang itu akan stabil dalam jangka sederhana, disokong oleh ekonomi Malaysia yang berorientasikan eksport.

 

“Nilai tukar yang sedikit lebih lemah dan stabil kekal secara asasnya menyokong ekonomi secara keseluruhan,” katanya.

 

Manfaat kepada Sektor Eksport

Firma itu turut berhujah, persekitaran mata wang semasa boleh memberi manfaat kepada sektor berorientasikan eksport, khususnya pengeluar teknologi, apabila industri semikonduktor Malaysia secara beransur-ansur bergerak ke rantaian nilai lebih tinggi.

 

Ia merujuk kepada perkembangan seperti penyenaraian SkyeChip sebagai bukti peningkatan keupayaan reka bentuk semikonduktor tempatan, menandakan peralihan daripada operasi berasaskan pemasangan kepada aktiviti bernilai lebih tinggi.

 

“Apabila sektor teknologi Malaysia berkembang, leverage pendapatan daripada kelemahan ringgit akan mengukuhkan naratif penilaian semula,” kata Malacca Securities. - DagangNews.com