KUALA LUMPUR 3 Julai – Leader Steel Holdings Berhad akan mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi melupuskan tanah pegangan bebas di Mukim Kapar, Klang, Selangor pada nilai RM136.56 juta.
Syarikat pembuatan keluli tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, langkah terbaharu berkenaan dijangka membolehkan syarikat itu dapat merealisasikan nilai aset miliknya sendiri.
Ujarnya, cadangan ini akan dibentangkan untuk kelulusan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dijadualkan berlangsung pada 20 Julai 2026, di Wisma Leader Steel, Bukit Tengah, Pulau Pinang.
"Usul pelupusan ini melibatkan anak syarikatnya, FerroNet Asia Sdn Bhd, yang akan menjual tanah di bawah geran HS (D) 166443, PT 85118 itu kepada WG Malaysia VIII Sdn Bhd," jelas Leader Steel.
Keluasan keseluruhan tanah tersebut adalah kira-kira 13.3546 hektar dan akan dijual pada harga tunai sebanyak RM136,560,315 seperti yang dipersetujui dalam perjanjian jual beli bersyarat.
Tambah kumpulan berkenaan, perjanjian jual beli (SPA) bersyarat antara FerroNet Asia dan WG Malaysia VIII sudah pun dimeterai oleh kedua-dua pihak tersebut secara rasmi pada 19 Mac 2026.

Cadangan itu ujar Leader Steel namun tertakluk kepada kelulusan, pengecualian atau persetujuan pihak berkuasa serta pihak berkaitan, jika diperlukan, selain pemenuhan semua syarat ditetapkan.
"Dalam notis EGM itu, mandat pemegang saham penting membolehkan Lembaga Pengarah melaksanakan segala tindakan, urusan dan dokumentasi yang diperlukan untuk menyempurnakan transaksi," katanya.
Lembaga Pengarah juga diberi kuasa untuk menerima sebarang syarat, pindaan atau perubahan yang mungkin dikenakan pihak berwajib bagi memastikan cpelupusan itu dapat dilaksanakan dengan lancar.
Leader Steel turut menjelaskan yang tarikh kelayakan bagi menentukan pemegang saham untuk berhak menghadiri dan seterusnya mengundi usul itu pada EGM tersebut ditetapkan pada 13 Julai 2026.
Sehubungan itu, kelulusan terhadap resolusi tersebut membolehkan FerroNet Asia dapat meneruskan pelupusan tanah mengikut terma dan syarat yang dipersetujui dalam perjanjian. - DagangNews.com








