KUALA LUMPUR 3 Julai – Elsa Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Elsa Energy Sdn Bhd memperoleh kontrak bagi pelaksanaan perkhidmatan pemeriksaan struktur bawah laut menggunakan Kenderaan Bawah Laut Autonomi (AUV).
Kontrak itu diterima daripada sebuah syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas utama di Malaysia.
Elsa berkata kontrak tersebut melibatkan perkhidmatan pemeriksaan struktur platform luar pesisir di Malaysia Timur dan Malaysia Barat, dengan tempoh asas selama satu tahun bermula 19 Jun 2026 hingga 18 Jun 2027 serta opsyen lanjutan selama satu tahun tambahan.
Menurut syarikat, kontrak ini turut mempunyai nilai tempahan tetap bagi memulakan kerja pemeriksaan AUV pada suku ketiga 2026, selain membuka ruang kepada pengeluaran arahan kerja tambahan sepanjang tempoh kontrak.
“Skop kerja merangkumi penyediaan sistem AUV, operasi pemeriksaan bawah laut secara autonomi, pengumpulan data teknikal secara menyeluruh serta analisis keadaan struktur dasar laut bagi memastikan integriti aset berada pada tahap optimum.
“Teknologi AUV yang digunakan bagi kontrak ini adalah berbeza daripada kontrak sebelum ini yang tertumpu kepada pemeriksaan saluran paip bawah laut kerana kali ini ia khusus untuk struktur platform menegak,” katanya dalam satu kenyataan.
Perbezaan tersebut memerlukan kategori teknologi autonomi yang berbeza, memandangkan pemeriksaan struktur menegak lebih kompleks dari segi pergerakan, pemetaan dan keupayaan robotik berbanding struktur saluran paip mendatar di dasar laut.
Dengan pencapaian ini, Elsa Berhad kini mampu menawarkan perkhidmatan pemeriksaan aset bawah laut yang lebih menyeluruh merangkumi kedua-dua aset mendatar (saluran paip) dan menegak (struktur platform).
Sementara itu, Pengarah Urusan Elsa Berhad Daniel Ilham Khong berkata kontrak ini merupakan pencapaian penting dalam memperkukuh kedudukan syarikat dalam segmen Robotik dan Penyelesaian Kejuruteraan selepas penyenaraian kumpulan.
Beliau berkata ini merupakan antara penggunaan pertama di Malaysia bagi AUV yang direka khusus untuk pemeriksaan struktur platform menegak, sebagai satu lagi kemajuan dalam penggunaan teknologi robotik bawah laut dalam industri minyak dan gas negara.
“Kontrak ini juga mencerminkan peningkatan penggunaan teknologi pemeriksaan autonomi dalam industri minyak dan gas Malaysia, khususnya dalam meningkatkan kecekapan operasi serta keselamatan aset luar pesisir,” katanya.
Syarikat turut menekankan bahawa strategi selepas penyenaraian memberi fokus kepada pertumbuhan dalam bidang robotik, aplikasi dron serta penyelesaian integriti aset.
Elsa turut memaklumkan bahawa pasaran teknologi pemeriksaan autonomi adalah berskala besar, dengan lebih 12,000 kilometer saluran paip dan lebih 400 platform luar pesisir di perairan Malaysia yang memerlukan pemeriksaan berkala bagi memastikan keselamatan dan kelangsungan operasi.
Kontrak ini dijangka memperkukuh lagi kedudukan Elsa dalam sektor perkhidmatan minyak dan gas berasaskan teknologi, selaras dengan peralihan kumpulan ke arah model perniagaan berasaskan inovasi, automasi dan perkhidmatan kejuruteraan berteknologi tinggi. - DagangNews.com








