KUALA LUMPUR 3 Julai - CIMB Securities menjangkakan lebih banyak pembaharuan kontrak bekalan insulin oleh Kementerian Kesihatan (KKM) akan memihak kepada Duopharma Biotech Bhd, sekali gus menjadi pemangkin pertumbuhan syarikat.
Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan itu disokong kejayaan Duopharma memperoleh kontrak insulin bernilai RM225 juta termasuk insulin glargine yang disifatkan satu kejutan positif.
Ini kerana produk tersebut sebelum ini tidak dimasukkan dalam unjuran pendapatannya dan hanya dibekalkan secara ad hoc, berbanding kontrak rasmi yang diterima.
"Kontrak ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Duopharma sebagai pembekal jangka panjang kepada sistem penjagaan kesihatan awam negara," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Duopharma memperoleh tiga kontrak daripada KKM yang merangkumi perjanjian selama tiga tahun bernilai RM155 juta untuk membekalkan insulin manusia rekombinan, selain dua kontrak selama dua tahun bernilai RM52.5 juta bagi insulin aspart dan RM18 juta bagi insulin glargine.
Mampu Jana Hasil Sehingga RM80 juta
Susulan penganugerahan kontrak tersebut, CIMB Securities menganggarkan Duopharma mampu menjana hasil tahunan antara RM75 juta hingga RM80 juta daripada bekalan insulin kepada KKM.
Jumlah itu dijangka menyumbang sekitar 7% hingga 8% daripada unjuran hasil syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2027 (FY2027).
Mengambil kira kontrak insulin glargine dalam model penilaiannya, CIMB Securities menaikkan unjuran pendapatan Duopharma sebanyak 0.4% bagi tahun kalendar 2026 (CY2026), 0.8% bagi CY2027 dan 0.5% bagi CY2028.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan "Beli" terhadap saham Duopharma dan menaikkan harga sasaran kepada RM1.83 sesaham daripada RM1.81 sebelum ini, berdasarkan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 16 kali bagi CY2027.
CIMB Securities berkata, usaha KKM memperluaskan penggunaan pelbagai terapi insulin dijangka membuka ruang kepada pembaharuan kontrak pada masa depan, walaupun sumbangan pendapatannya dijangka masih kecil dalam tempoh terdekat.
Firma itu menjelaskan insulin manusia rekombinan masih mewakili sebahagian besar penggunaan insulin oleh KKM, dengan anggaran antara 80% hingga 90% daripada keseluruhan penggunaan insulin kementerian itu.
Pada masa sama, penggunaan insulin glargine dijangka meningkat secara beransur-ansur apabila KKM terus mempelbagaikan pilihan rawatan, sekali gus berpotensi menjadi sumber pendapatan berulang baharu kepada Duopharma pada masa hadapan.
Selain kontrak terbaharu tersebut, CIMB Securities berkata prospek pertumbuhan jangka panjang Duopharma turut disokong oleh pelaksanaan reformasi sektor kesihatan yang dijangka meningkatkan penggunaan ubat generik, potensi pertambahan produk yang dibekalkan di bawah perjanjian konsesi dengan KKM serta tamat tempoh paten lebih banyak ubat asal yang akan membuka peluang kepada pengeluar ubat generik. - DagangNews.com








