KUALA LUMPUR 3 Julai – JP Morgan mengekalkan penarafan "Overweight" terhadap pasaran ekuiti Malaysia dengan sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada paras 1,800 mata menjelang akhir 2026, disokong oleh kitaran pelaburan sektor swasta yang semakin kukuh, pertumbuhan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) serta daya tahan sektor perbankan.
Firma pelaburan global itu berkata, kitaran pelaburan sektor swasta di Malaysia terus menunjukkan momentum positif apabila pelaburan aset tetap meningkat kepada 22% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menurutnya, prospek pelaburan turut disokong oleh peningkatan unjuran perbelanjaan modal (capex) global berkaitan AI kepada AS$5.5 trilion menjelang 2030, berbanding AS$5.1 trilion yang diunjurkan pada November tahun lalu.
Pada masa sama, kapasiti pusat data global dijangka berkembang kepada 138 gigawatt (GW) daripada 122GW sebelum ini.
"Berdasarkan anggaran kami, saluran pembangunan pusat data di Malaysia kini telah berkembang kepada 13GW, lebih besar berbanding gabungan Indonesia, Thailand dan Singapura.
"Ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pasaran infrastruktur AI terbesar di ASEAN," katanya dalam nota penyelidikan.
Gelombang Pelaburan Swasta
JP Morgan berkata, berbeza dengan kitaran pelaburan terdahulu yang banyak dipacu oleh komoditi atau projek infrastruktur kerajaan, gelombang pelaburan semasa semakin didorong oleh syarikat korporat, pengendali pusat data berskala hiper (hyperscalers) dan syarikat multinasional.
Perkembangan itu dijangka memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih tinggi dan tempoh pelaburan yang lebih panjang, sekali gus menyokong prestasi syarikat dalam sektor utiliti, perindustrian dan teknologi terpilih.
Menurut firma itu, sentimen pasaran domestik juga kekal memberangsangkan apabila dana amanah tempatan masih memegang tunai bersamaan 6.4% daripada aset di bawah pengurusan (AUM), manakala pegangan pelabur asing berada pada paras rendah dari segi sejarah, iaitu 18.3%.
JP Morgan turut mengekalkan pandangan positif terhadap sektor perbankan yang disifatkan sebagai tunjang portfolio pelaburan berikutan kualiti aset yang kukuh, hasil dividen yang menarik serta potensi penambahbaikan pengurusan modal.
Walaupun sektor itu dijangka tidak mencatat pertumbuhan pendapatan terpantas, bank-bank di Malaysia masih menawarkan pulangan berbanding risiko yang menarik kepada pelabur, menurut firma tersebut.
JP Morgan berkata, unjuran pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) konsensus bagi tahun kewangan 2026 (FY2026) dan FY2027 masing-masing kekal pada 7% dan 6%, sekali gus menyokong sasaran FBM KLCI pada paras 1,800 mata berdasarkan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (P/E) hadapan sebanyak 14 kali.
Firma itu menjangkakan kepimpinan pasaran akan terus diterajui oleh syarikat yang mempunyai pendedahan langsung kepada kitaran pelaburan Malaysia, berbanding peningkatan penilaian secara menyeluruh di seluruh pasaran.
Selain itu, JP Morgan mengenal pasti tiga pemangkin yang berpotensi memacu kenaikan lanjut pasaran tempatan, iaitu kemajuan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), peningkatan aktiviti korporat di bawah inisiatif MY Value Up, serta kemungkinan berlakunya fenomena El Niño, yang berpotensi memberi manfaat kepada sektor tertentu di Bursa Malaysia. - DagangNews.com








