Kee Ming berpotensi terajui kejuruteraan mekanikal didorong kemajuan pesat pusat data, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kee Ming berpotensi terajui kejuruteraan mekanikal didorong kemajuan pesat pusat data, kata RHB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 3 JulaiRHB Research melihat Kee Ming Group Berhad berpotensi muncul sebagai antara peneraju baharu sektor kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) tempatan dalam masa terdekat.

 

Perkembangan itu didorong peluang besar daripada pembangunan pusat data (DC), projek industri serta tenaga boleh diperbaharui (RE) yang akan memacu pertumbuhan pendapatan syarikat berkenaan.

 

Justeru, firma tersebut memulakan liputan ke atas kumpulan itu dengan nilai saksama (FV) RM2.14 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 20 kali bagi unjuran tahun kewangan 2028.

 

"Kami berpandangan penilaian ke atas Kee Ming masih menarik berbanding gandaan 22 hingga 25 kali yang diberikan kepada kontraktor besar terlibat dalam projek DC berskala tinggi," kata RHB Research.

 

Menurutnya, prospek pertumbuhan disokong oleh perkembangan pesat pasaran perkhidmatan M&E yang dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 11.9% dari 2025 hingga 2029.

 

Kumpulan tersebut menyediakan perkhidmatan kejuruteraan M&E meliputi antaranya pemasangan sistem elektrik, sistem solar, pengecas kenderaan elektrik (EV) serta mekanikal perlindungan kebakaran.

 

Kee Ming_DagangNews2026

 

Ujar RHB Research, projek industri kekal penyumbang terbesar kepada hasil Kee Ming iaitu 70.5% bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026, diikuti projek komersial (15.6%) dan kediaman (7.2%).

 

"Pada masa sama, segmen tenaga bersih dan kerja infrastruktur semakin berkembang dengan sumbangan meningkat kepada 6.5% daripada hasil bagi tempoh sama berbanding hanya 1% pada FY23," jelasnya.

 

Firma itu mengunjurkan keuntungan berkembang pada CAGR 28% bagi tempoh FY26 hingga FY29, dengan projek DC akan membentuk 34% daripada buku tender syarikat yang kini bernilai RM1.7 bilion.

 

Tambah RHB Research, nilai pembinaan pembangunan DC berkapasiti 3,252 MW sehingga 2030 dianggarkan RM90 bilion, dengan peluang kerja bagi sistem elektrik berpotensi mencecah RM40 bilion.

 

Perak dijangka terus menjadi pasaran utama dengan menjana 44.6% kepada hasil enam bulan pertama, disokong pembangunan kawasan perindustrian baharu yang menawarkan margin keuntungan kasar 23%.

 

"Setakat 31 Mac 2026, buku tempahan Kee Ming sudah berjumlah RM151.9 juta dengan projek industri meliputi 29.3% dan berpotensi meraih kontrak baharu bernilai RM340 juta dalam 12 bulan," ujarnya.

 

RHB Research namun mengingatkan risiko tumpuan operasi di Perak dan Pulau Pinang, kelewatan pemerolehan kontrak baharu serta peningkatan kos projek di bawah kontrak harga tetap. - DagangNews.com