Unisem sasar kumpul RM742 juta melalui penempatan persendirian, tingkatkan kapasiti pengeluaran & kurangkan hutang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unisem sasar kumpul RM742 juta melalui penempatan persendirian, tingkatkan kapasiti pengeluaran & kurangkan hutang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai – Unisem (M) Bhd merancang untuk mendapatkan dana sehingga RM742.02 juta menerusi cadangan penempatan persendirian bagi menyokong pelan pengembangan perniagaan semikonduktor serta memperkukuh kedudukan kewangan kumpulan.

 

Langkah korporat itu melibatkan penerbitan sehingga 161.31 juta saham baharu iaitu bersamaan maksimum 10% daripada jumlah saham terbitan semasa syarikat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor itu berkata saham baharu berkenaan akan ditawarkan kepada pelabur institusi tempatan dan asing melalui kaedah pembinaan buku manakala harga akhirnya akan ditentukan kemudian berdasarkan permintaan pasaran.

 

Unisem berkata tiada peruntukan saham akan diberikan kepada pengarah, pemegang saham utama, ketua pegawai eksekutif atau pihak berkaitan dalam cadangan penempatan ini.

 

Berdasarkan harga indikatif RM4.60 sesaham, jumlah dana yang disasarkan adalah sekitar RM742.02 juta, dengan harga tersebut mencerminkan diskaun kira-kira 2% berbanding purata harga wajaran volum lima hari (VWAP) RM4.6953 sehingga 1 Julai.

 

Daripada keseluruhan dana yang dijangka diperoleh, sekitar RM444.54 juta akan disalurkan bagi pembelian peralatan baharu termasuk mesin pemasangan, ujian serta pemasangan titik sambungan pada wafer (wafer bumping) selain menambah kemudahan bilik bersih bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.

 

Sebahagian lagi iaitu RM269.93 juta akan digunakan untuk melunaskan pinjaman bank, manakala RM22.95 juta diperuntukkan sebagai modal kerja bagi menyokong operasi harian syarikat.

 

t

 

Pelan pengumpulan dana ini hadir selepas Unisem menyiapkan kemudahan pengeluaran baharu di Gopeng, Perak, yang telah memperkukuh kapasiti pengeluarannya secara ketara.

 

Namun begitu, usaha pengembangan tersebut turut menyebabkan paras hutang bank meningkat lebih dua kali ganda kepada RM406.4 juta pada tahun kewangan 2025 berbanding RM187.1 juta sebelumnya, susulan perbelanjaan modal bagi projek perluasan kilang.

 

Setakat 31 Mac 2026, kumpulan itu merekodkan tunai dan baki bank sebanyak RM258.9 juta, menunjukkan kedudukan mudah tunai yang masih stabil.

 

Selepas cadangan ini dilaksanakan, Unisem menjangkakan nisbah penggearan akan berkurang kepada 0.14 kali daripada 0.19 kali, mencerminkan pengurangan beban hutang serta pengukuhan struktur kewangan.

 

Selain itu, penempatan saham ini turut dijangka meningkatkan peratusan pegangan saham awam kepada sekitar 31.84% berbanding 25.02% sebelum ini, yang berpotensi menambah baik kecairan dagangan saham di pasaran.

 

CIMB Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama serta ejen penempatan tunggal bagi urus niaga ini.

 

Dari segi prestasi saham, Unisem mencatat kenaikan sekitar 54% setakat tahun ini, dengan rekod tertinggi pada RM5.30 yang dicapai pada 29 Mei. - DagangNews.com