KUALA LUMPUR 3 Julai – TA Securities mengunjurkan buku tempahan terkumpul Binastra Corporation Berhad naik kepada RM6.8 bilion, dan menjamin keterlihatan hasil bagi empat tahun akan datang.
Perkembangan positif tersebut susulan kejayaan syarikat berkenaan memperoleh kontrak pembinaan sebuah pusat data (DC) setinggi tujuh tingkat yang bernilai RM491.2 juta di Cheras, Kuala Lumpur.
Kata firma berkenaan, situasi itu mengukuhkan lagi prospek pertumbuhan, dan mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.04 sesaham, disokong buku tempahan yang semakin berkembang.
"Kontrak baharu itu diraih anak syarikatnya, Binastra Builders Sdn Bhd bagi pembangunan fasa kedua DC dan adalah kesinambungan kepada tender fasa pertama," jelas TA Securities dalam analisisnya.
Tambahnya lagi, kontrak itu juga merupakan kemenangan projek ketiga diperoleh Binastra bagi tahun kewangan 2027, sekali gus meningkatkan nilai kontrak baharu pada tahun ini kepada RM1.3 bilion.
Jumlah terkini itu ujar firma penyelidikan tersebut, sudah mewakili sekitar 52% daripada sasaran penambahan kontrak baharu kumpulan berkenaan sebanyak RM2.5 bilion bagi tahun kewangan semasa.

Sehubungan itu, TA Securities menganggarkan buku tempahan terkumpul syarikat tersebut meningkat kepada sekitar RM6.8 bilion, atau bersamaan 7.2 kali ganda hasil pembinaan tahun kewangan 2025.
"Kontrak berkenaan dianugerahkan berasaskan kepada mekanisme kos tambah yang merangkumi peruntukan jumlah sementara, sekali gus dapat membantu bagi mengurangkan risiko tekanan margin," katanya.
Dengan andaian margin keuntungan bersih 5%, ia menganggarkan kontrak tersebut mampu menyumbang kira-kira RM29.5 juta kepada keuntungan bersih Binastra sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Tender berkenaan juga merupakan projek DC ketujuh yang berjaya diperoleh Binastra setakat ini, menjadikan jumlah keseluruhan nilai kontrak berkaitan fasiliti itu mencecah RM2.4 bilion.
TA Securities mengekalkan unjuran pendapatan kerana kontrak baharu itu adalah selaras jangkaannya, selain mengekalkan saranan dan TP berasaskan gandaan 17 kali pendapatan sesaham (PE) tahun 2027.
"Kami menilai kejayaan ini disokong hubungan kukuh dengan pelanggan utama, prospek sektor pembinaan yang positif serta buku tempahan yang terus berkembang," jelasnya. - DagangNews.com








