KUALA LUMPUR, 3 Julai – Mesiniaga Berhad memperoleh kontrak bernilai hampir RM40 juta daripada Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd. bagi membangunkan Infrastruktur Pelayan Berpusat Baharu untuk Sistem Maklumat Farmasi (PhIS) Versi 3.0.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Mesiniaga berkata, syarikat menerima surat penganugerahan kontrak itu pada 2 Julai 2026.
"Kontrak bernilai RM39.99 juta, termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang 30 Jun 2030," katanya.
Menurut Mesiniaga, tiada klausa pembaharuan automatik terkandung dalam kontrak berkenaan.
Syarikat berkata, risiko utama pelaksanaan kontrak itu melibatkan pematuhan terhadap komitmen tahap perkhidmatan serta tempoh pelaksanaan yang ditetapkan oleh pelanggan.
"Bagaimanapun, syarikat telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi mengurangkan risiko tersebut," katanya.
Dari segi kesan kewangan, kontrak tersebut tidak akan memberi impak terhadap modal saham atau pegangan saham pemegang saham utama Mesiniaga.
Namun begitu, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 serta tahun-tahun berikutnya sehingga projek berkenaan siap dilaksanakan pada 2030.
Kontrak tersebut merupakan satu lagi kemenangan penting Mesiniaga selepas syarikat itu pada Jun lalu memperoleh pembaharuan kontrak bernilai RM43.28 juta daripada Maybank Shared Services Sdn. Bhd. bagi langganan lesen perisian selama tiga tahun, sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatan kumpulan sehingga 2029.
Mesiniaga turut memaklumkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang mempunyai kaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak tersebut. - DagangNews.com








