Biro Pengurusan Pusat lancar platform digital baharu, tingkatkan kecekapan pentadbiran insurans dan takaful | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Biro Pengurusan Pusat lancar platform digital baharu, tingkatkan kecekapan pentadbiran insurans dan takaful

CAB 2.0 juga dijangka memberi impak positif dari segi penjimatan masa kerja apabila automasi dalam fungsi kewangan dianggarkan mampu menjimatkan kira-kira 392.25 jam setahun atau bersamaan 49 hari bekerja
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai – Biro Pengurusan Pusat (CAB) melangkah ke fasa baharu transformasi digital apabila secara rasmi melancarkan CAB 2.0 iaitu sistem pentadbiran insurans semula berasaskan pengkomputeran awan) yang dinaik taraf daripada sistem sedia ada.

 

CAB yang ditubuhkan dan diuruskan oleh Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re) memperkenalkan platform ini sebagai sebahagian usaha memperkukuh kecekapan operasi industri insurans dan insurans semula di Malaysia.

 

Pelancaran CAB 2.0 adalah satu peralihan penting daripada sistem lama kepada platform moden berasaskan awan yang lebih pantas, fleksibel dan mudah diakses oleh semua ahli CAB.

 

Sistem baharu ini mula beroperasi sejak 4 Mac 2026, sebelum pelancaran rasminya dan kini digunakan sepenuhnya oleh lebih 70 syarikat ahli CAB termasuk syarikat insurans, reinsurans, takaful dan retakaful.

 

Menurut CAB, sistem CAB 2.0 direka bagi meningkatkan kecekapan proses pentadbiran dan penyelesaian transaksi insurans semula fakultatif antara syarikat ahli.

 

“Antara penambahbaikan utama yang diperkenalkan termasuk automasi proses kewangan, pemprosesan data yang lebih pantas serta keupayaan pelaporan yang lebih baik bagi memudahkan pengurusan maklumat.

 

t

 

“Sistem baharu ini turut membantu mengurangkan kerja manual yang berulang, sekali gus meningkatkan produktiviti operasi dalam kalangan pengguna platform tersebut.

 

“Selain itu, CAB 2.0 juga dijangka memberi impak positif dari segi penjimatan masa kerja apabila automasi dalam fungsi kewangan dianggarkan mampu menjimatkan kira-kira 392.25 jam setahun atau bersamaan 49 hari bekerja,” katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi CAB, Gary Hoo berkata pelancaran CAB 2.0 bukan sekadar naik taraf sistem, tetapi merupakan langkah penting dalam perjalanan transformasi digital organisasi tersebut.

 

Menurut beliau, platform baharu ini akan membantu menyediakan sistem yang lebih cekap, berdaya tahan dan bersedia untuk memenuhi keperluan industri masa hadapan.

 

Ketua CAB, Shahrom Othman pula berkata kejayaan pelaksanaan CAB 2.0 membuktikan keberkesanan kerjasama industri dalam mempercepatkan agenda pendigitalan sektor insurans dan takaful di Malaysia.

 

“CAB 2.0 bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, tetapi juga memperkukuh aspek keselamatan serta membolehkan industri menerima inovasi baharu dengan lebih yakin,” katanya.

 

Dengan pelancaran ini, CAB yakin platform CAB 2.0 akan menjadi asas kepada pembangunan sistem yang lebih moden, hijau dan mampan, selaras dengan keperluan industri kewangan dan insurans yang semakin berkembang. - DagangNews.com