Bursa Malaysia syarikat tersenarai pertama negara raih skor ESG sempurna 5.0 di bawah FTSE4Good | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia syarikat tersenarai pertama negara raih skor ESG sempurna 5.0 di bawah FTSE4Good

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Julai – Bursa Malaysia Berhad menjadi syarikat tersenarai awam pertama di Malaysia yang memperoleh skor sempurna 5.0 di bawah rangka kerja penilaian FTSE4Good ESG, sekali gus meletakkannya dalam kelompok syarikat terbaik dunia dari segi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Pencapaian itu meletakkan Bursa Malaysia dalam kalangan syarikat terpilih di bawah penanda aras FTSE4Good yang menilai lebih daripada 12,000 syarikat di seluruh dunia menerusi metodologi yang telus dan berasaskan peraturan.

 

Dalam kenyataan Bursa Malaysia berkata, pencapaian tersebut dipacu terutamanya oleh prestasi kukuh di bawah komponen Perubahan Iklim dalam penilaian FTSE4Good, hasil penambahbaikan ketara dalam pendedahan maklumat berkaitan ESG, khususnya pelaporan iklim yang sejajar dengan piawaian antarabangsa IFRS S2.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad'l Mohamed berkata, sebagai pengendali bursa nasional, pihaknya percaya piawaian yang digalakkan kepada syarikat tersenarai perlu terlebih dahulu diterapkan dalam amalan organisasi sendiri.

 

"Pencapaian skor tertinggi dalam penilaian ESG FTSE4Good yang diiktiraf di peringkat global membuktikan kemajuan kami dalam memperkukuh amalan dan pendedahan ESG.

 

"Ia merupakan piawaian yang Bursa Malaysia komited untuk terus mengekalkannya, selain mengukuhkan kepentingan pelaporan ESG dalam membantu pelabur memahami risiko, peluang serta pemacu penciptaan nilai jangka panjang," katanya.

 

Selain memperkukuh amalan kemampanan dalam operasi sendiri, Bursa Malaysia turut mempertingkat keperluan pelaporan kemampanan bagi syarikat tersenarai selaras dengan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF).

 

Bursa Malaysia juga memperkenalkan Centralised Sustainability Intelligence (CSI) Solution, iaitu platform yang membantu syarikat tersenarai dan pembekal mereka mengurus pelaporan kemampanan serta data ESG dengan lebih cekap.

 

Menurut Bursa Malaysia, inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kualiti, ketelusan dan kebolehbandingan pendedahan maklumat kemampanan dalam kalangan syarikat tersenarai, sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur terhadap pasaran modal Malaysia.

 

FTSE4Good yang diperkenalkan oleh FTSE Russell pada 2001 merupakan antara penanda aras ESG paling berpengaruh di dunia dan menjadi rujukan utama pelabur institusi dalam menilai syarikat yang mengamalkan standard kemampanan dan tadbir urus korporat yang tinggi. - DagangNews.com