KUALA LUMPUR 10 Feb — TA Securities menjangkakan keuntungan CSC Steel Holdings Berhad bagi tahun kewangan 2028 (FY28) berupaya meningkat stabil kira-kira 3.8% kepada sebanyak RM72.3 juta.
Menurut firma penyelidikan tersebut, prestasi positif itu disokong oleh aktiviti domestik yang kukuh, walaupun pasaran besi keluli global terus menghadapi lebihan bekalan dan persaingan sengit.
Kumpulan itu jelasnya, menutup FY25 dengan keuntungan teras RM71.1 juta, selaras dengan unjurannya meskipun pendapatan menurun 8.8% tahun ke tahun (YoY) akibat harga jualan purata lebih lemah.
"Jumlah jualan rendah ini selari trend global, namun untung CSC Steel melonjak 131% YoY, dipacu kawalan kos bahan yang berkesan dan pengukuhan ringgit," kata TA Securities dalam notanya hari ini.
Secara suku ke suku (QoQ), keuntungan bersih diselaraskan turun 10.9%, berikutan pendapatan merosot 7.7% dan kos operasi yang lebih tinggi, menyebabkan margin kasar dan margin bersih teras turun.
Bagaimanapun jelasnya, kumpulan ini kekal bebas hutang dengan kedudukan tunai bersih RM414.1 juta, memberikan fleksibiliti kewangan yang tinggi, dan dividen bagi FY25 mencecah 14.1 sen sesaham.
Situasi itu tambah TA Securities, menunjukkan peningkatan dua kali ganda berbanding FY24, dan CSC Steel masih lagi berupaya menawarkan hasil dividen menarik kira-kira 9.4% kepada pelabur mereka.
Artikel berkaitan: Untung bersih CSC Steel naik 103% kepada RM69.44 juta bagi FY25 disokong kos bahan mentah rendah
"Justeru, kami mengekalkan unjuran keuntungan FY26 hingga FY27, serta memperkenalkan ramalan FY28 dengan sokongan permintaan domestik stabil dalam sektor pembinaan dan projek prasarana," katanya.
Risiko utama namun termasuk bekalan berlebihan dari China, permintaan lembap, kos operasi meningkat akibat tarif elektrik lebih tinggi dan cukai karbon, serta persaingan serantau yang intensif.
Jelas TA Securities, strategi CSC Steel yang menumpukan produk besi keluli bernilai tambah, memberi kelebihan penetapan harga berbanding pengeluar huluan yang perlu bergantung pada harga komoditi.
Pengurusan kumpulan itu juga mengekalkan pendekatan disiplin terhadap kos, pengurusan inventori, serta inisiatif ESG dan penyahkarbonan untuk mengekalkan daya saing dan ketahanan keuntungan.
"Berdasarkan prestasi stabil dan dividen menarik, kami menaikkan harga sasaran kepada RM1.89 daripada RM1.40, dengan terus mengekalkan saranan 'beli'," kata firma penyelidikan tersebut.
TA Securities menekankan peluang margin lebih baik melalui produk bernilai tambah dan kedudukan tunai CSC Steel yang kukuh sebagai pelindung terhadap isu ketidaktentuan pasaran semasa.
Walaupun prospek jangka panjang positif, pelabur dinasihatkan peka terhadap risiko lebihan stok global, permintaan lemah, dan kos operasi yang boleh menekan margin jangka pendek. DagangNews.com








