KUALA LUMPUR 9 Feb - CSC Steel Holdings Berhad mencatatkan untung bersih RM69.44 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, melonjak 103% berbanding RM34.16 juta pada tahun sebelumnya.
Prestasi memberangsangkan ini dipacu terutamanya oleh faktor kos bahan mentah yang lebih rendah serta pengukuhan nilai tukaran mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di pasaran.
Kumpulan tersebut berkata, faktor positif berkenaan berjaya meningkatkan margin keuntungan syarikat secara signifikan sepanjang tempoh kewangan tersebut dengan kedudukan lebih baik daripada FY24.
"Bagi suku keempat (1QFY25), untung bersih turut meningkat 62% kepada RM18.35 juta berbanding hanya RM11.35 juta pada tempoh suku yang sama tahun sebelumnya," maklum CSC Steel kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun, hasil kumpulan bagi suku tersebut susut 4% kepada RM330.41 juta berbanding RM345.02 juta bagi tempoh yang sama pada 2024, disebabkan oleh trend penurunan harga jualan purata global.
Keadaan berkenaan jelasnya, mengatasi sedikit peningkatan dalam volum jualan, dan secara kumulatif bagi tahun penuh 2025, hasil merosot 9% kepada RM1.38 bilion berbanding RM1.51 bilion pada 2024.
Menurut CSC Steel, bagi prospek 2026, pasaran keluli antarabangsa dijangka mendapat manfaat besar daripada pemulihan permintaan dan langkah perlindungan perdagangan lebih kukuh di peringkat global.
"Di peringkat domestik pula, industri keluli sedang mengemudi persekitaran seimbang dan tekanan kos dikekang oleh pergerakan mata wang yang amat memihak kepada kos input import," jelas syarikat itu.
Sehubungan itu tambah syarikat tersebut, permintaan keluli tempatan kekal disokong oleh aktiviti pembinaan yang konsisten serta pelaksanaan projek-projek infrastruktur dan industri utama.
Selain itu, penguatkuasaan Akta Timbal Balas dan Antilambakan (Pindaan) 2025 dijangka mengukuh keupayaan sektor domestik mengekalkan perlindungan jangka panjang terhadap perdagangan tidak adil.
Lembaga Pengarah CSC Steel namun tidak mengesyorkan sebarang dividen bagi 4QFY25 dan setakat 31 Disember 2025, kedudukan tunai adalah kekal kukuh pada RM414.12 juta. - DagangNews.com








