KUALA LUMPUR 23 Feb – Pengasas AUF MBZ Consortium PLT, Datuk Wira Mahadi Badrul Zaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan berkaitan aktiviti pasaran modal tidak berlesen di bawah Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Pertuduhan itu berkaitan tindakan AUF MBZ yang didakwa menjalankan perniagaan urus niaga dalam sekuriti tanpa Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Mahadi, yang juga rakan kongsi AUF MBZ, dituduh melakukan kesalahan berkenaan antara 14 Jun 2021 hingga 9 Ogos 2023 bagi pertuduhan pertama dan antara 3 September 2021 hingga 15 Februari 2024 bagi pertuduhan kedua di Selangor, di bawah Seksyen 367(1) CMSA.
Mahadi mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di dua mahkamah berasingan.
Bagi pertuduhan pertama, Hakim Mahkamah Sesyen Azrul Darus membenarkan beliau diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin tempatan, selain diperintahkan menyerahkan pasport dan melapor kepada Pegawai Penyiasat SC setiap bulan sehingga perbicaraan selesai.
Bagi pertuduhan kedua di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norma Ismail, beliau turut dibenarkan ikat jamin RM50,000 dengan syarat tambahan yang sama.
Selain itu, bekas pengarah syarikat awam tidak tersenarai Energy Eco Berhad, Tan Sri Mohd Daud Bakar, turut didakwa atas satu pertuduhan bersubahat di bawah Seksyen 58(1) yang dibaca bersama Seksyen 370(c) CMSA berkaitan pertuduhan pertama terhadap AUF MBZ.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 367(1) CMSA kerana merupakan wakil syarikat berkenaan ketika kesalahan itu didakwa berlaku.
Tan Sri Mohd Daud mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin tempatan serta dikenakan syarat menyerahkan pasport dan melapor bulanan kepada Pegawai Penyiasat SC.
Dalam prosiding berasingan, pengarah sebuah lagi syarikat awam tidak tersenarai, Qew Group Berhad, Datuk Muhamad Iqbal Mohamad turut menghadapi pertuduhan bersubahat di bawah Seksyen 58(1) yang dibaca bersama Seksyen 370(c) CMSA berhubung pertuduhan kedua terhadap AUF MBZ.
Beliau juga mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin tempatan, tertakluk kepada syarat tambahan yang sama.
Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
SC dalam kenyataannya turut mengingatkan pelabur supaya sentiasa berhati-hati sebelum menyerahkan wang dan memastikan sesuatu peluang pelaburan disemak status pelesenannya.
Senarai Amaran Pelabur SC sentiasa dikemas kini bagi membantu orang ramai mengenal pasti platform, syarikat atau individu yang tidak dibenarkan atau tidak berlesen dan AUF MBZ serta Mahadi telah dimasukkan dalam senarai tersebut pada 26 Februari 2024. - DagangNews.com








