Stok minyak di stesen PETRONAS Dagangan masih stabil berdepan pergolakan semula Timur Tengah - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Stok minyak di stesen PETRONAS Dagangan masih stabil berdepan pergolakan semula Timur Tengah - HLIB

Stesen minyak Petronas di Ayer Keroh, Melaka. - Gambar NAIM AZIZ / DagangNews.com
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 20 JulaiPETRONAS Dagangan Berhad (PDB) membuktikan daya tahan operasi dengan berjaya mengekalkan bekalan yang stabil di seluruh negara, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu menambah, meskipun ketegangan geopolitik di Timur Tengah kembali berlaku, keyakinan terhadap prospek syarikat tersebut dalam persekitaran pasaran yang mencabar masih kukuh.

 

Kestabilan itu ujarnya, turut disokong oleh sistem pengurusan inventori bersepadu yang cekap, penggunaan teknologi 'automatic tank gauging' serta penyelarasan rapat dengan induknya sendiri, PETRONAS.

 

 

 

 

 

"Sistem ini memastikan bekalan bahan api di stesen minyak PDB tidak terganggu walaupun pasaran minyak global pula terus berdepan ketidaktentuan akibat konflik geopolitik semasa," jelas HLIB dalam analisisnya.

 

Tempoh inventori bahan api secara kelazimannya dikekalkan antara tiga hingga lima hari di stesen dan tiga hingga 10 hari di terminal simpanan bergantung kepada jenis produk serta keperluan permintaan.

 

Langkah itu turut diperkukuh dengan jaminan kerajaan yang bekalan petroleum negara kekal mencukupi sehingga penghujung 2026 menerusi pelbagai inisiatif bagi menjamin keselamatan tenaga negara.

 

Petronas_DagangNews2026

 

Bagaimanapun, HLIB menjangka prestasi segmen runcit PDB bagi suku kedua tahun kewangan 2026 lebih sederhana berikutan kejatuhan ketara harga minyak mentah selepas lonjakan pada suku sebelumnya.

 

"Selepas harga Brent naik pada 1QF26 yang meningkatkan margin segmen itu kepada 5.1% berbanding hanya 2.0% pada suku keempat FY25, harga kemudian susut 38% sepanjang suku kedua 2026," tambahnya.

 

Ia menjangkakan keuntungan inventori PDB yang lebih rendah susulan penyusutan harga minyak akan menormalkan prestasi segmen runcit, namun segmen komersial pula dijangka menunjukkan pemulihan.

 

Kesan kelewatan penetapan harga bahan api penerbangan semakin berkurangan, tetapi HLIB berkata, pemulihan segmen komersial mungkin dihadkan oleh jumlah jualan bahan api Jet A1 yang masih lemah.

 

 

 

 

 

 

Sehubungan itu, ia terus mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan tersebut dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM21.34, memandangkan asas perniagaan syarikat adalah kekal kukuh.

 

"PDB turut disokong oleh rangkaian pengedaran yang mantap, pengurusan inventori berkesan serta jaminan bekalan bahan api secara berterusan di pasaran domestik," katanya. - DagangNews.com