KUALA LUMPUR 20 Julai - Reservoir Link Energy Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Reservoir Link Sdn. Bhd. (RLSB), memperoleh dua lesen berkaitan penghantaran gas daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) sekali gus membolehkan kumpulan itu menyertai segmen utama rantaian nilai gas asli domestik.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, dua lesen di bawah Akta Bekalan Gas itu ialah Lesen Penghantaran Gas dan Lesen Import ke Terminal Regasifikasi.
Kedua-dua lesen tersebut diberikan bagi tempoh 10 tahun, tertakluk kepada syarat-syarat lesen yang berkuat kuasa serta keperluan pembayaran fi lesen tahunan.
Reservoir Link berkata, kelulusan itu merupakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi syarikat untuk mengembangkan operasi ke dalam sektor gas asli terkawal di Malaysia.
Menurut syarikat itu, pemberian lesen berkenaan turut selaras dengan rangka kerja Akses Pihak Ketiga (TPA) yang diperkenalkan ST bagi infrastruktur pengangkutan dan regasifikasi gas, sekali gus membuka ruang kepada liberalisasi pasaran yang lebih meluas serta penyertaan pemain industri yang berlesen.
"Kelulusan ini mengukuhkan komitmen kumpulan untuk mempelbagaikan portfolio tenaga melangkaui perkhidmatan medan minyak konvensional," katanya dalam satu kenyataan.
Menyertai Rantaian Nilai Gas Asli Domestik
Reservoir Link berkata, Lesen Penghantaran Gas membolehkan RLSB menyertai aktiviti penghantaran gas asli melalui sistem pengangkutan gas Malaysia, manakala Lesen Import ke Terminal Regasifikasi memberi kebenaran kepada syarikat mengimport gas asli cecair (LNG) ke terminal regasifikasi yang dilesenkan.
Katanya, kedua-dua lesen tersebut menyediakan asas kawal selia yang membolehkan kumpulan mengambil bahagian dalam segmen utama rantaian nilai gas asli domestik.
Syarikat itu berkata, peningkatan pesat pembangunan pusat data mendorong permintaan tinggi elektrik dijangka meningkatkan peranan gas asli sebagai sumber utama penjanaan tenaga bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil dan fleksibel kepada kemudahan berintensiti tinggi itu.
"Perkembangan ini meletakkan Reservoir Link pada kedudukan strategik untuk menyokong agenda keselamatan tenaga serta peralihan tenaga negara," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai, berkata kelulusan kedua-dua lesen berkenaan merupakan satu lagi pencapaian strategik ketika kumpulan terus mempelbagaikan perniagaan ke dalam infrastruktur tenaga bernilai tinggi serta perkhidmatan berkaitan gas.
Beliau berkata, lesen tersebut, digabungkan dengan TPA ST menyediakan platform kawal selia kepada syarikat untuk meneroka lebih banyak peluang dalam ekosistem gas asli Malaysia.
"Kami percaya kelulusan ini akan meletakkan Reservoir Link pada kedudukan yang kukuh untuk mengambil peluang komersial pada masa hadapan, di samping mewujudkan nilai mampan jangka panjang kepada para pemegang saham," katanya. - DagangNews.com








