KUALA LUMPUR 20 Julai - Pusingan terbaharu bidaan pembangunan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) di Semenanjung Malaysia di bawah program NEWGEN26 dikatakan menerima lima penyertaan selepas tempoh penghantaran cadangan ditutup pada 1 Julai lalu.
Menurut laporan The Edge, Suruhanjaya Tenaga (ST) mempelawa cadangan bagi pembinaan loji-loji baharu yang disasarkan mula beroperasi antara 2029 hingga 2031, sebagai sebahagian daripada program repowering bagi menggantikan loji-loji lama yang bakal ditamatkan operasinya serta memenuhi permintaan elektrik yang terus meningkat.
Permintaan tersebut didorong oleh peningkatan penggunaan elektrik, pertumbuhan sektor industri serta kemasukan pelaburan pusat data yang semakin rancak di Malaysia.
Antara pemain utama yang mengemukakan bidaan ialah konsortium melibatkan YTL Power International Bhd yang mencadangkan pembangunan loji berkapasiti 750 megawatt (MW) di Pulau Indah, Klang.
Turut serta ialah usaha sama Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan Edra Power Holdings Sdn. Bhd. yang membida projek loji gas berkapasiti 700MW, menurut dua sumber.
Difahamkan, Tenaga Nasional Bhd (TNB) turut mengemukakan bidaan bagi membangunkan loji gas 700MW di Connaught Bridge, Klang.
Tapak berkenaan sebelum ini menempatkan antara loji janakuasa tertua negara dengan kapasiti 800MW yang telah ditamatkan operasinya, manakala sebuah loji berkapasiti 375MW yang masih beroperasi di lokasi sama dijadualkan beroperasi sehingga 2037.
Selain itu, Genting Bhd, menerusi unit penjanaan kuasanya, turut mengemukakan cadangan bagi membangunkan loji gas berkapasiti 1,400MW di Gebeng, Pahang.
Bidaan Selepas NEWGEN25
Pusingan NEWGEN26 diadakan selepas pelaksanaan NEWGEN25 pada 2025 yang menyaksikan usaha sama TNB dan Aurora Power Generation Sdn. Bhd. muncul sebagai satu-satunya pemenang projek baharu apabila dianugerahkan pembangunan loji berkapasiti 1,400MW di Terengganu di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 15 tahun.
Dalam pusingan sama, ST turut meluluskan lanjutan PPA kepada tiga syarikat bagi loji janakuasa sedia ada iaitu TNB melibatkan kapasiti 1,262MW; Malakoff Corp Bhd (2,082MW) dan Edra Power (1,375MW) yang dilanjutkan sehingga penghujung 2029 dan awal 2030.
Pada masa sama, PETRONAS memperoleh tambahan kapasiti 150MW bagi loji janakuasanya di Pengerang, Johor.
Peralihan Daripada Arang Batu Kepada Gas
Pembidaan NEWGEN26 turut menandakan hala tuju baharu industri janakuasa negara apabila kerajaan meneruskan usaha menggantikan loji arang batu dengan loji berasaskan gas sebagai sumber bekalan asas, sejajar komitmen mengurangkan pelepasan karbon.
Semua pembida perlu membuktikan kemampuan mendapatkan turbin gas, menjamin bekalan gas asli serta menyediakan tapak yang mempunyai akses kepada grid elektrik nasional dan rangkaian paip gas.
Bagaimanapun, usaha mempercepatkan pembangunan loji janakuasa gas berdepan cabaran apabila permintaan global terhadap turbin gas meningkat mendadak susulan peralihan banyak negara kepada penjanaan elektrik berasaskan gas.

Keadaan itu menyebabkan bekalan turbin menjadi semakin terhad, malah dalam sesetengah keadaan pembeli perlu membuat bayaran pendahuluan sehingga satu pertiga daripada harga turbin bagi mendapatkan slot pengeluaran.
Difahamkan, YTL Power merupakan antara syarikat yang telah berjaya mendapatkan bekalan turbin untuk projek baharunya.
Sementara itu, Malakoff, yang dikatakan hampir memperoleh dua projek loji janakuasa berkapasiti 1,400MW, sebelum ini mengumumkan telah memperoleh empat turbin daripada Mitsubishi Power Ltd.
TNB pula, yang telah memenangi projek NEWGEN25 berkapasiti 1,400MW di Terengganu selain membangunkan satu lagi projek 1,400MW di negeri sama, memaklumkan bulan lalu bahawa syarikat itu telah menandatangani perjanjian bagi memperoleh enam turbin gas daripada Mitsubishi Power dengan kapasiti keseluruhan sehingga 4,200MW.
Namun begitu, tempoh penyediaan projek kekal mencabar.
Firma perunding tenaga Wood Mackenzie berkata, kelewatan dalam pengeluaran turbin gas telah memanjangkan tempoh pembangunan loji janakuasa kepada sehingga lima tahun, berbanding kira-kira tiga setengah tahun sebelum ini. - DagangNews.com








