QES manfaatkan kitaran industri semikonduktor, RHB Research naikkan harga sasaran kepada 69 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

QES manfaatkan kitaran industri semikonduktor, RHB Research naikkan harga sasaran kepada 69 sen

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 21 JulaiRHB Research terus mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham QES Group Berhad dan menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kepada 69 sen berbanding 57 sen sebelum ini.

 

Penilaian itu ujarnya, selepas melihat syarikat berada pada kedudukan kukuh memanfaatkan kitaran peningkatan industri semikonduktor dan pertumbuhan pesat segmen teknologi perubatan (MedTech).

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek kumpulan tersebut bagi tahun kewangan 2026 kekal positif, meskipun persekitaran global masih berdepan ketidaktentuan permintaan serta persaingan sengit.

 

"QES terus disokong keterlihatan buku tempahan yang kukuh, pengembangan portfolio pembuatan dan kerjasama strategik di China membuka sumber pertumbuhan dalam tempoh sederhana," kata RHB Research.

 

Menurutnya, prestasi hasil dijangka bertambah baik mulai suku kedua 2026 berikutan peningkatan pengeluaran dalam segmen MedTech, serta prestasi berdaya tahan dalam bahagian kejuruteraan nilai.

 

Setakat akhir Mei 2026, syarikat itu memiliki buku tempahan terkumpul bernilai RM121 juta, dengan RM86 juta disumbangkan oleh bahagian kejuruteraan nilai dan RM35 juta daripada bahagian pembuatan.

 

QES_DagangNews2026

 

Ujar RHB Research, walaupun 45% daripada buku tempahan QES pada April 2026 sudah dibilkan menjelang akhir Jun 2026, pengisian tempahan baharu yang berterusan membolehkan nilainya itu kekal stabil.

 

"Kumpulan turut meraih kontrak terbesar bernilai kira-kira RM14 juta daripada pelanggan di India yang dijangka disiapkan sepenuhnya dalam tahun kewangan semasa," jelas firma penyelidikan tersebut.

 

Dalam segmen MedTech, syarikat memperoleh tempahan terkumpul RM21.5 juta sehingga akhir Jun 2026, manakala baki tempahan bernilai RM9 juta atau kira-kira 26% melibatkan tempahan bahagian pembuatan.

 

QES kata RHB Research, giat berunding dengan beberapa syarikat MedTech bagi meningkatkan tempahan dan membantu bahagian pembuatan kembali mencatat keuntungan selepas kerugian pada 1QFY26.

 

Sehubungan itu, ia menaikkan unjuran keuntungan bagi FY26 hingga FY28 antara 2% hingga 12%, dipacu andaian hasil yang lebih tinggi, pemulihan segmen MedTech serta pengembangan margin mulai 2QFY26.

 

"TP baharu itu menawarkan potensi kenaikan saham sekitar 21% selain jangkaan pulangan dividen kira-kira 2% bagi FY27, disokong pemulihan teguh dalam bahagian pembuatan," tambahnya. - DagangNews.com