LSH Capital rancang pindah penyenaraian ke Pasaran Utama selepas nilai modal kini cecah RM1.53 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LSH Capital rancang pindah penyenaraian ke Pasaran Utama selepas nilai modal kini cecah RM1.53 bilion

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 21 JulaiLim Seong Hai Capital Berhad (LSH Capital) mahu memindahkan sahamnya selepas 16 bulan didagangkan di Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata cadangan itu susulan pertumbuhan pesat keuntungan, kedudukan kewangan dan nilai permodalan syarikat yang kini mencecah RM1.53 bilion.

 

Cadangan tersebut jelas kumpulan berkenaan, melibatkan pemindahan penyenaraian dan sebut harga keseluruhan 838.36 juta saham biasa LSH Capital daripada dagangan Pasaran ACE ke Pasaran Utama.

 

"Selepas berpindah daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE pada 21 Mac 2025, kami memenuhi semua syarat proses pemindahan dipercepatkan ditetapkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)," katanya.

 

Menurut syarikat berkenaan, nilai pasaran hariannya sudah melepasi RM1 bilion sejak 8 September 2025, sekali gus memenuhi syarat had minimum yang ditetapkan bagi pemindahan ke Pasaran Utama.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, LSH Capital mencatat keuntungan bersih RM100.79 juta, manakala keuntungan terkumpul bagi tiga tahun kewangan pula telah mencecah RM234.01 juta.

 

LSH Capital_DagangNews2026

 

Justeru ujar kumpulan berkenaan, selepas diambil kira segala pelarasan bagi item tidak berulang, keuntungan selepas cukai diselaraskan bagi tahun kewangan 2025 meningkat kepada RM102.09 juta. 

 

"Syarikat turut mengekalkan kedudukan kewangan yang sihat dengan nisbah semasa 3.59 kali, tunai dan setara tunai sebanyak RM91.35 juta, serta nisbah penggearan kurang daripada 0.02 kali," katanya.

 

Setakat 11 Jun 2026, sebanyak 32.37% saham LSH Capital dipegang oleh 1,903 pemegang saham awam, sekali gus memenuhi syarat pegangan saham awam minimum untuk disenaraikan di Pasaran Utama.

 

Lembaga Pengarah berkata, cadangan pemindahan itu akan menjadi satu lagi pencapaian penting dalam dan mencerminkan pertumbuhan, keuntungan dan kekuatan kewangan sejak di Pasaran LEAP pada 2021.

 

Penyenaraian di Pasaran Utama dijangka meningkatkan profil korporat, memperkukuh keyakinan pelabur institusi serta menambah pengiktirafan pelanggan, pembekal, rakan niaga dan pemegang saham.

 

"Cadangan itu tertakluk kepada kelulusan SC, Bursa Malaysia serta pihak berkaitan lain, dengan permohonan dijangka dikemukakan dalam tempoh sebulan," kata LSH Capital. - DagangNews.com