KUALA LUMPUR 21 Julai – MBSB Research menjangkakan eksport Malaysia kekal kukuh pada 2026 dengan unjuran pertumbuhan 18.9%, disokong permintaan tinggi ke atas produk elektrik dan elektronik (E&E).
Sektor perdagangan ujarnya, masih stabil meskipun berdepan dengan risiko gangguan rantaian bekalan, tekanan kos dan potensi peraturan dagangan yang lebih ketat khususnya dari Amerika Syarikat (AS).
Firma penyelidikan itu berkata, prestasi perdagangan luar negara Malaysia kekal teguh dengan jumlah dagangan pada Jun 2026 berkembang 44.7%, pertumbuhan dua digit bagi bulan ke-10 berturut-turut.
"Eksport naik 45.3%, hampir menyamai paras tertinggi dalam empat tahun, manakala import melonjak 43.9%, kadar terpantas sejak Februari 2022, dipacu peningkatan pembelian produk E&E," jelas MBSB Rersearch.
Prestasi eksport tambahnya, terus disokong oleh eksport domestik yang berkembang sebanyak 44.6%, walaupun pertumbuhan eksport semula sederhana kepada kira-kira 48.7% berbanding bulan sebelumnya.
Produk E&E kekal pemacu terbesar eksport negara dengan menyumbang 25.3 mata peratusan daripada keseluruhan pertumbuhan eksport Jun 2026, disokong permintaan kukuh daripada pasaran utama dunia.

Pertumbuhan kata MBSB Research, turut disumbangkan oleh produk lain, petroleum mentah dan petroleum bertapis, gas asli cecair (LNG) serta peralatan optik dan saintifik yang terus mencatat peningkatan.
"Dari segi destinasi eksport, penghantaran ke AS naik 108.6%, diikuti Singapura (47.6%), China (36.1%), Jepun (45.9%) dan Taiwan (44.7%), yang mencerminkan permintaan global masih kukuh," ujarnya.
Bagi perdagangan dengan ASEAN pula jelasnya, eksport berkembang 21.2%, sementara eksport ke Kesatuan Eropah (EU) terus berkembang 25.4% walaupun dilihat lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya.
Selain itu, MBSB Research menaikkan unjuran pertumbuhan import kepada 13% bagi 2026 berbanding 6% pada 2025, disokong oleh pengeluaran serantau, penggunaan domestik, dan aktiviti pelaburan.
Walaupun lebihan dagangan mengecil kepada RM14.9 bilion pada Jun berikutan lonjakan import bulanan, firma tersebut percaya Malaysia akan terus mengekalkan lebihan perdagangan keseluruhan tahun ini.
"Perkembangan tersebut turut disokong kekuatan eksport E&E, LNG dan minyak sawit, sekali gus memperkukuhkan prospek sektor perdagangan luar negara," katanya. - DagangNews.com








