MUI Properties jual tanah industri RM18.7 juta di Bandar Springhill, Port Dickson kepada Antmed | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MUI Properties jual tanah industri RM18.7 juta di Bandar Springhill, Port Dickson kepada Antmed

Taman Industri Bandar Springhill, Port Dickson
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai – MUI Properties Bhd menjual sebidang tanah perindustrian berharga RM18.73 juta di Bandar Springhill, Negeri Sembilan kepada Antmed Malaysia Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada usaha mempercepatkan pembangunan kawasan itu sebagai hab perubatan.

 

Pelupusan itu melibatkan West Synergy Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung milik 60% MUI Properties, yang menjual tanah pegangan bebas seluas 49,725 meter persegi (hampir 5 hektar) di Springhill Industrial Park, Port Dickson kepada syarikat berkenaan secara tunai.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MUI Properties berkata, transaksi tersebut bukan sahaja dijangka meningkatkan kedudukan kewangannya, malah menjadi satu lagi langkah penting dalam merealisasikan perancangan menjadikan Bandar Springhill sebagai hab perubatan yang mampu menarik lebih banyak pelaburan berkaitan sektor penjagaan kesihatan.

 

“West Synergy dijangka merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM10.87 juta daripada pelupusan itu, dengan RM6.52 juta daripada jumlah tersebut akan disumbangkan kepada MUI Properties berdasarkan pegangan 60% dalam syarikat berkenaan.

 

“Baki keuntungan sebanyak RM4.35 juta pula akan diperoleh Chin Teck Plantations Bhd yang memiliki 40% kepentingan dalam West Synergy,” katanya.

 

Pelaburan Sokong Ekosistem Perubatan

Tanah yang dijual itu mempunyai nilai buku bersih teraudit sebanyak RM4.36 juta setakat 30 Jun 2025, manakala West Synergy membelinya pada Januari 1995 pada harga hanya RM497,902.

 

Menurut MUI Properties, langkah itu selaras dengan strategi yang diperkenalkan pada 2024 untuk membangunkan Bandar Springhill sebagai hab perubatan, sekali gus mewujudkan ekosistem yang mampu menarik syarikat berkaitan industri kesihatan.

 

Antmed Malaysia ialah syarikat yang terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan sains perubatan, serta dimiliki sepenuhnya oleh Hong Kong Antmed Ltd.

 

Syarikat itu bukan pembeli baharu di Bandar Springhill. Pada Julai 2024, West Synergy telah menjual 53 ekar tanah pegangan bebas kepada Antmed pada harga RM80.8 juta secara tunai bagi menyokong pembangunan fasiliti berkaitan sektor perubatan.

 

MUI Properties berkata, keputusan Antmed untuk memperoleh tambahan tanah dalam tempoh hanya dua tahun selepas pembelian pertama membuktikan komitmen jangka panjang syarikat itu terhadap pembangunan Bandar Springhill.

 

Dana Percepatkan Pembangunan Bandar Springhill

Menurut syarikat itu, pelupusan berkenaan akan terus memacu pembangunan ekosistem hab perubatan di Bandar Springhill, selain mengukuhkan pendapatan serta modal kerja West Synergy bagi menyokong pelaksanaan projek-projek yang sedang berjalan.

 

Daripada jumlah hasil jualan RM18.73 juta itu, sebanyak RM15.22 juta akan diperuntukkan bagi keperluan modal kerja termasuk pembangunan projek dan kerja-kerja infrastruktur di Bandar Springhill, manakala RM3.43 juta disediakan untuk pembayaran cukai dan RM80,000 bagi menampung perbelanjaan berkaitan transaksi tersebut. - DagangNews.com