Radium siapkan pembinaan struktur penting Vista Adesa di Sungai Besi, projek dijangka siap 2Q27 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Radium siapkan pembinaan struktur penting Vista Adesa di Sungai Besi, projek dijangka siap 2Q27

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 20 JulaiRadium Development Berhad terus memperkukuh kedudukannya dalam segmen perumahan mampu milik menerusi projek Residensi Wilayah, Vista Adesa di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

 

Pencapaian itu mengukuhkan komitmen pemaju berpusat di Lembah Klang tersebut, sekali gus menandakan pembinaan projek hartanah tersebut berada di landasan untuk disiapkan menjelang suku kedua 2027.

 

Majlis penyiapan struktur utama berlangsung di aras bumbung projek menandakan struktur Vista Adesa siap sepenuhnya dan dihadiri barisan pengurusan kanan bersama rakan strategik pembangunan itu.

 

"Kejayaan ini membuktikan kami menyediakan kediaman berkualiti pada harga mampu milik di lokasi strategik, dan memenuhi permintaan tinggi terhadap rumah di bandar raya," jelas kenyataan Radium.

 

Vista Adesa merupakan sebahagian pembangunan Desa East Residences dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1 bilion, dan antara projek utama Radium memperluaskan perumahan bandar.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Gary Gan Kah Siong berkata, pencapaian tersebut membuktikan komitmen syarikat membina kediaman mampu milik berkualiti kepada penduduk ibu negara.

 

Radium_DagangNews2026

 

Beliau berkata, dengan siapnya struktur utama projek, Radium selangkah lebih hampir merealisasikan impian pemilikan rumah bagi lebih 1,200 keluarga dalam komuniti yang moden, dan berkembang pesat.

 

"Vista Adesa menawarkan 1,218 unit di bawah skim Residensi Wilayah harga RM300,000 seunit, dengan keluasan binaan 800 kaki persegi serta dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air," katanya.

 

Projek berkenaan menerima sambutan baik sejak dilancarkan berikutan lokasinya hanya lima kilometer dari pusat bandar, sekali gus menjadikannya pilihan bagi pembeli rumah pertama dan keluarga muda.

 

Penduduk juga bakal menikmati rangkaian hubungan jalan raya yang lebih menyeluruh menerusi akses perjalanan terus ke Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya SMART, Lebuhraya MEX serta Lebuhraya Salak.

 

Pada masa sama, momentum positif itu turut disokong oleh prestasi projek bersebelahan, Radium Adesa Residence menyasarkan pembeli yang ingin menaik taraf kediaman dengan pilihan unit lebih besar.

 

"Gabungan dua pembangunan ini mengukuhkan reputasi Radium sebagai pemaju yang memberi tumpuan di Lembah Klang sejajar aspirasi syarikat membina komuniti bandar berkualiti," katanya. - DagangNews.com