Sektor semikonduktor berdepan cabaran disebabkan ketidaktentuan dasar tarif AS - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor semikonduktor berdepan cabaran disebabkan ketidaktentuan dasar tarif AS - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Julai — Sektor semikonduktor di Malaysia masih lagi berdepan dengan risiko negatif berikutan ketidaktentuan dasar tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS), kata TA Securities.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, ia mengekalkan pandangan berwaspada walaupun laporan oleh World Semiconductor Trade Statistics meramalkan pertumbuhan berterusan dalam jualan pada 2025.

 

Situasi berkenaan tambahnya, disebabkan kebimbangan sekiranya AS melaksanakan tarif khusus sektor ke atas semikonduktor yang boleh memberi kesan secara ketara kepada permintaan pasaran akhir.

 

"Kami namun percaya kerajaan kekal teguh melaksanakan Strategi Semikonduktor Nasional, dengan matlamat meningkatkan kedudukan negara dalam rantaian global," kata TA Securities dalam notanya.

 

Tambahnya, Presiden AS, Donald Trump merancang menyekat penghantaran cip kecerdasan buatan (AI) ke Malaysia sebagai sebahagian usaha untuk mengekang penyeludupan haram semikonduktor ke China.

 

Kata firma tersebut, berdasarkan laporan media antarabangsa, setakat hari ini, peraturan yang dicadangkan pentadbiran AS itu masih kekal dalam bentuk draf dan tertakluk kepada perubahan akhir.

 

Secara keseluruhannya kata TA Securities, langkah itu bukanlah sesuatu yang tidak dijangka, kerana Trump sebelum ini telah menyatakan hasratnya untuk melaksanakan versi dasar penyebaran AI sendiri.

 

"Bagi sektor teknologi Malaysia, kami tidak menjangkakan berlaku kesan segera yang begitu ketara, kerana industri semikonduktor tempatan pada masa ini adalah terhad kepada cip AI," tambahnya.

 

Bagaimanapun, firma berkenaan lebih bimbang mengenai potensi implikasi jangka panjang, disebabkan sekatan sedemikian boleh menghalang cita-cita Malaysia sendiri untuk meningkatkan rantaian nilai.

 

TA Securities menambah, akses yang terhad kepada cip AI termaju dari seluruh dunia mungkin boleh melambatkan pembangunan AI tempatan, yang akhirnya memperlahankan kemajuan teknologi di Malaysia.

 

Berdasarkan situasi itu, ia mengekalkan pendirian 'neutral' ke atas sektor semikonduktor serta menurunkan taraf Unisem Berhad daripada 'pegang' kepada 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM2.15.

 

"Ia berikutan potensi peningkatan terhad berikutan kenaikan harga baru-baru ini manakala saranan 'pegang' kepada Inari (TP RM2.11), MPI (TP RM21.63) dan Elsoft (TP RM0.36)," katanya. - DagangNews.com