Saham Inta Bina berisiko akibat kontrak lebih rendah berjumlah RM865 juta bagi FY25 - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Inta Bina berisiko akibat kontrak lebih rendah berjumlah RM865 juta bagi FY25 - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Feb - Paras perolehan kontrak baharu yang lebih rendah daripada jangkaan bagi tahun kewangan 2025 menjadi isu risiko kritikal dalam penilaian terkini ke atas saham Inta Bina Group Berhad.


Bagaimanapun, menurut RHB Research, firma penyelidikan tersebut tetap mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) sesaham yang baharu iaitu 76 sen, kurang berbanding 81 sen sebelum ini.


Jelasnya, situasi perolehan kontrak baharu FY25 hanya berjumlah RM865.2 juta, yang lebih rendah daripada andaian awal RM1.1 bilion, didakwa berpunca daripada isu pelancaran projek dikenal pasti perlahan.


"Sebahagian besar pemaju hartanah dipercayai mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ selepas pihak kerajaan memperluas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tahun lalu," kata firma itu dalam notanya.


RHB Research namun meramalkan pelancaran yang tertangguh itu akan dibawa ke tahun kalendar 2026 (CY26), sekali gus berpotensi menjana lebih banyak tender baharu khususnya bagi projek kediaman.


Perkembangan positif tersebut ujar firma berkenaan, memandangkan pembinaan bangunan kediaman dalam sebarang projek pembangunan bercampur dikecualikan kerajaan daripada dikenakan cukai perkhidmatan.


Justeru, menjelang keputusan suku keempat FY25 yang dijadualkan diumumkan pada 25 Februari 2026, ia mengunjurkan keuntungan teras Inta Bina bagi tempoh 4Q25 sekitar RM7 juta hingga RM11 juta.


"Angka ini bersamaan pertumbuhan tahun ke tahun (YoY) antara -15% hingga +33%, dengan sumbangan utama untuk kumpulan dijangka datang menerusi segmen pembangunan hartanah," kata RHB Research


Firma itu berkata, ia khususnya Senuri Residences dengan kemajuan pengebilan projek bernilai pembangunan kasar (GDV) RM205 juta itu sudah pun mencapai 100% jualan bagi unit pasaran terbuka.


Setakat akhir September 2025, buku tempahan terkumpul Inta Bina berjumlah RM1.8 bilion, bersamaan nisbah perlindungan buku tempahan kepada hasil sebanyak 2.8 kali berdasarkan hasil pembinaan FY24. 


Syarikat berkenaan jelas RHB Research, turut mempunyai buku tender bernilai RM4.5 bilion, disokong pelancaran projek oleh pemaju utama di Lembah Klang seperti Sime Darby Property dan Eco World.


"Susulan perolehan kontrak FY25 yang lebih rendah daripada jangkaan, kami menurunkan unjuran pendapatan kumpulan bagi FY25 hingga FY27 masing-masing sebanyak 3%, 3% dan 5%," katanya lagi.


TP baharu yang rendah pula berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP), dengan segmen pembinaan dinilai pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sasaran 11 kali berasaskan unjuran pada FY26.


Pada masa ini jelas RHB Research, saham Inta Bina didagangkan sekitar enam kali P/E FY26, yang jauh lebih rendah berbanding purata lima tahun Indeks Pembinaan Bursa Malaysia sekitar 14 kali.


Keadaan lemah itu tambah firma tersebut, tidak wajar memandangkan rekod pengisian kontrak yang stabil serta potensi projek pembangunan hartanah dengan GDV dianggarkan sekitar RM500 juta.


"Pemangkin penarafan semula saham termasuk meraih banyak kontrak di Johor, berikutan aktiviti pembangunan pesat oleh pelanggan utama seperti UEM Sunrise dan Eco World di negeri itu," katanya.


Firma penyelidikan itu namun memberi amaran risiko penurunan saham Inta Bina pula tertumpu kepada trend pengisian kontrak yang lebih perlahan daripada jangkaan awal. - DagangNews.com