RM114.8 juta insentif untuk i-Saraan, RM11.4 juta bagi i-Suri pada 2024 - MOF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RM114.8 juta insentif untuk i-Saraan, RM11.4 juta bagi i-Suri pada 2024 - MOF

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mac - Kerajaan memperuntukkan insentif sejumlah RM114.8 juta untuk program i-Saraan pada 2024 yang memberi manfaat kepada 529,667 ahli, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

 

Beliau berkata, peningkatan itu adalah ketara berbanding insentif kerajaan sebanyak RM54.7 juta kepada 383,082 ahli pada 2023, dan RM33.2 juta kepada 291,743 ahli pada 2022. 

 

Katanya, jumlah caruman yang diterima di bawah program i-Saraan pada 2024 adalah sebanyak RM2.6 bilion, peingkatan ketara berbanding RM1.44 bilion yang diterima pada 2023 dan RM888 juta pada 2022.

 

 

"Dalam Belanjawan 2025, kerajaan mengumumkan penambahbaikan program i-Saraan dengan menaikkan insentif padanan daripada 15% kepada 20%, tertakluk kepada maksimum RM500 setahun dan had seumur hidup sebanyak RM5,000 bagi setiap individu. 

 

"Kelayakan insentif adalah bagi umur di bawah 60 tahun," katanya ketika ketika menjawab soalan lisan di Dewan Negara, hari ini.

 

Program i-Saraan merupakan inisiatif caruman sukarela yang diperkenalkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memberi peluang kepada ahli yang bekerja sendiri serta pekerja sektor ekonomi gig tanpa pendapatan tetap menerima insentif khas daripada kerajaan bagi tujuan persaraan.

 

Amir Hamzah berkata, bagi i-Suri, yang menyokong suri rumah yang berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih, kerajaan memperuntukkan RM11.4 juta insentif untuk 2024, memanfaatkan 75,196 penerima. 

 

Katanya, ia menandakan peningkatan 77% daripada 42,759 penerima pada 2023.

 

Di bawah i-Suri, kerajaan menyediakan insentif padanan 50% bagi setiap ringgit yang dicarum kepada KWSP, dengan maksimum RM300 setahun dan had seumur hidup RM3,000 untuk mereka yang berumur bawah 55 tahun.

 

"Kumpulan fokus bagi i-suri adalah golongan miskin tegar dalam rekod e-Kasih. 

 

"Dalam hal ini, sebagai bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan kos sara hidup, kerajaan telah meningkatkan peruntukan ke tahap tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun 2025 iaitu kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion ringgit pada tahun 2024. - DagangNews.com