Penganalisis unjur harga minyak sawit mentah melepasi RM4,500 dalam tempoh terdekat akibat fenomena El Niño | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis unjur harga minyak sawit mentah melepasi RM4,500 dalam tempoh terdekat akibat fenomena El Niño

Foto BERNAMA
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 Julai — Penganalisis menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) berpotensi besar melepasi paras RM4,500 satu tan dalam tempoh terdekat disebabkan kesan fenomena El Niño.

 

Mereka difahamkan situasi pada kali ini diramalkan menjadi antara yang paling kuat sejak 1950 sehingga dijangka menjejaskan bekalan sawit global, sekali gus mengukuhkan prospek sektor perladangan.

 

Antaranya MBSB Research yang mengekalkan saranan 'positif taktikal' terhadap sektor perladangan dengan turut disokong faktor pelaksanaan mandat biodiesel B15 di Malaysia dan B50 di Indonesia.

 

"Harga purata MSM pada Jun 2026 ialah RM4,491 satu tan, manakala Julai pula dijangka naik kepada RM4,541 mencerminkan faktor cuaca dan risiko geopolitik menyokong harga komoditi itu," katanya.

 

Pengeluaran MSM di Malaysia pada bulan lalu meningkat kepada 1.64 juta tan  tetapi masih susut 3.2% berbanding tahun lalu, manakala stok naik kepada 2.54 juta tan berikutan eksport yang perlahan.

 

MBSB Research turut menjangka kebarangkalian 80% berlaku El Niño sangat kuat terus menjadi pemacu utama sentimen pasaran, sekali gus memberi sokongan tambahan kepada harga MSM sepanjang tahun ini.

 

Firma itu namun mengekalkan andaian purata harga MSM 2026 pada RM4,300 satu tan serta menurunkan penarafan Sarawak Plantation Berhad kepada 'neutral' selepas kenaikan harga saham secara ketara.

 

sektor perladangan_DagangNews2026

 

Sementara itu, RHB Research mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor perladangan dengan pilihan utama ialah Johor Plantations Group, IOI Corporation, Hap Seng Plantations dan SD Guthrie.

 

"Amerika Syarikat (AS) menganggarkan kebarangkalian 97% El Niño menjadi sangat kuat antara Oktober hingga Disember 2026, yang berpotensi menjadi antara fenomena terbesar sejak 1950," jelasnya.

 

Firma penyelidikan itu berpandangan kesan terhadap pengeluaran produk sawit lazimnya berlaku dengan kelewatan kira-kira 12 bulan, justeru risiko kenaikan harga MSM pada 2027 semakin meningkat.

 

RHB Research namun masih mengekalkan andaian harga pada RM4,400 satu tan bagi 2026 dan RM4,300 satu tan bagi 2027 sehingga terdapat pengesahan lanjut mengenai kekuatan sebenar fenomena tersebut.

 

"Selain itu, kami menjangka aktiviti pengisian semula stok di pasaran India dan Bangladesh serta pelaksanaan biodiesel B50 di Indonesia turut membantu bagi meningkatkan permintaan global," katanya.

 

Perkembangan tersebut jelasnya, sekali gus menyokong harga MSM dalam tempoh sederhana disebabkan unjuran permintaan tinggi dan pengurangan bekalan akibat fenomena El Nino. - DagangNews.com