KUALA LUMPUR 13 Julai - Pelabur institusi asing kembali menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia apabila merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM75.3 juta minggu lalu, sekali gus menamatkan lapan minggu berturut-turut mencatat jualan bersih, menurut MBSB Research.
Perkembangan itu mencerminkan peningkatan semula minat pelabur asing terhadap pasaran ekuiti tempatan, walaupun sentimen pelaburan global masih dipengaruhi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik.
Sepanjang minggu berkenaan, pelabur institusi asing menjadi pembeli bersih pada tiga daripada lima hari dagangan, dengan aliran masuk tertinggi direkodkan pada Khamis sebanyak RM142.5 juta, diikuti Rabu (RM23.1 juta) dan Jumaat (RM3.7 juta).
Bagaimanapun, pelabur asing mencatat aliran keluar bersih pada Isnin sebanyak RM84.5 juta dan Selasa RM9.5 juta.
Mengikut sektor, utiliti menjadi tumpuan utama pelabur asing dengan menerima aliran masuk bersih sebanyak RM136.5 juta, diikuti sektor perkhidmatan kewangan (RM84.2 juta) dan perladangan (RM50.9 juta).
Sebaliknya, sektor teknologi merekodkan aliran keluar bersih terbesar sebanyak RM106.2 juta, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (RM88.8 juta) serta pembinaan (RM20.9 juta).
Dalam kalangan pelabur domestik, institusi tempatan kembali menjadi penjual bersih selepas mencatat pembelian bersih selama 12 minggu berturut-turut, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM201.3 juta.
Pelabur runcit pula kembali menyokong pasaran apabila menjadi pembeli bersih dengan aliran masuk sebanyak RM126 juta, selepas mencatat jualan bersih pada minggu sebelumnya.
Dari segi aktiviti dagangan, purata volum dagangan harian (ADTV) pelabur runcit susut 6.5%, manakala institusi tempatan meningkat 10.9%. Sebaliknya, ADTV pelabur institusi asing merosot 27.6%, mencerminkan penyertaan yang masih berhati-hati walaupun kembali mencatat pembelian bersih. - DagangNews.com








