Evergreen Max Cash Capital mohon berpindah ke Pasaran Utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Evergreen Max Cash Capital mohon berpindah ke Pasaran Utama

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Julai – Evergreen Max Cash Capital Bhd (EMCC) merancang untuk memindahkan penyenaraiannya ke Pasaran Utama Bursa Malaysia daripada Pasaran ACE selepas memenuhi semua syarat yang ditetapkan, sekali gus mencerminkan kedudukan kewangan dan prestasi keuntungan syarikat yang semakin kukuh.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, syarikat pajak gadai itu berkata cadangan perpindahan tersebut dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2026, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

 

Menurut EMCC, langkah berkenaan merupakan satu pencapaian penting yang melambangkan pertumbuhan berterusan, keuntungan mampan serta kekuatan kewangan kumpulan sejak disenaraikan di Pasaran ACE pada 26 September 2023.

 

Katanya, penyenaraian di Pasaran Utama dijangka meningkatkan profil syarikat dalam kalangan pelabur, khususnya pelabur institusi, selain memperluaskan akses kepada pasaran modal.

 

Berdasarkan syarat Bursa Malaysia, syarikat yang ingin berpindah ke Pasaran Utama perlu merekodkan keuntungan bersih terkumpul sekurang-kurangnya RM30 juta bagi tempoh tiga tahun kewangan, termasuk sekurang-kurangnya RM15 juta pada tahun kewangan terkini.

 

EMCC berjaya melepasi syarat itu apabila mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM36.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, manakala keuntungan terkumpul bagi tempoh 2023 hingga 2025 berjumlah RM72.64 juta.

 

Selain itu, syarikat turut memenuhi syarat memiliki sekurang-kurangnya dua tahun penyata kewangan teraudit selepas penyenaraian, iaitu bagi tahun kewangan 2024 dan 2025. 

 

t

 

Sehingga 31 Disember 2025, EMCC merekodkan keuntungan terkumpul sebanyak RM87.45 juta, aset bersih milik pemegang saham bernilai RM261.66 juta, nisbah semasa 2.34 kali serta tunai dan baki bank sebanyak RM35.79 juta.

 

Walaupun aliran tunai daripada aktiviti operasi direkodkan negatif sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, syarikat menjelaskan keadaan itu berpunca daripada kaedah perakaunan perniagaan pajak gadai di mana pinjaman yang disalurkan kepada pelanggan direkodkan sebagai aliran keluar operasi, manakala pembiayaan yang diterima direkodkan di bawah aktiviti pembiayaan.

 

Menurut EMCC, aliran tunai operasi negatif itu merupakan ciri biasa dalam model perniagaan pajak gadai dan dijangka meningkat selari dengan pertumbuhan operasi serta peningkatan jumlah pinjaman yang disalurkan.

 

Aliran tunai operasi negatif meningkat daripada RM7.9 juta pada 2023 kepada RM156.68 juta pada 2025.

 

Dalam pada itu, syarikat memaklumkan masih mempunyai kemudahan kredit yang belum digunakan berjumlah RM40.3 juta serta modal kerja yang mencukupi untuk menampung operasi sekurang-kurangnya bagi tempoh 12 bulan akan datang. 

 

EMCC juga memenuhi syarat pegangan saham awam apabila 43.11 peratus sahamnya dimiliki oleh 3,670 pemegang saham awam.

 

UOB Kay Hian Securities dilantik sebagai penasihat utama bagi cadangan perpindahan tersebut. - DagangNews.com