KUALA LUMPUR 13 Julai - Prospek jangka sederhana AEON Credit Service (M) Bhd. kekal positif disokong pertumbuhan pembiayaan yang stabil, meskipun kos kredit yang lebih tinggi daripada jangkaan pada suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27) mendorong penyelidik menyemak turun harga sasaran (TP) kepada RM6.60 daripada RM6.80, kata RHB Research.
Bagaimanapun, firma penyelidikan mengekalkan saranan "BELI" terhadap saham syarikat itu berikutan potensi kenaikan sekitar 15% daripada harga semasa, selain unjuran hasil dividen kira-kira 6% bagi FY27.
Dalam sesi taklimat keputusan 1QFY27, pihak pengurusan AEON Credit menegaskan semula sasaran pertumbuhan pembiayaan sebanyak 8% tahun ke tahun bagi tahun kewangan semasa, selain mengekalkan panduan kos kredit sekitar 4%.
RHB Research berkata, unjuran tersebut menunjukkan pendapatan syarikat dijangka terus mengukuh pada suku-suku akan datang, walaupun mereka menurunkan unjuran keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) bagi FY27 hingga FY29 antara 3% hingga 8% susulan kos kredit yang lebih tinggi serta kerugian daripada syarikat bersekutu pada suku pertama.
Menurut pengurusan, peningkatan kos kredit berpunca daripada gangguan sementara dalam aktiviti kutipan pembayaran pada Mei akibat cuti sekolah dan cuti umum, sekali gus menyebabkan kadar hapus kira meningkat terutamanya dalam segmen pembiayaan peribadi dan kenderaan terpakai.
Walaupun tekanan inflasi dan pasaran pekerjaan dijangka terus memberi cabaran kepada kutipan pada suku kedua, syarikat optimis kadar hapus kira dapat kembali ke paras purata sejarah sekitar 1.3% daripada 1.4% yang direkodkan pada 1QFY27 menerusi penambahbaikan proses kutipan.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penggunaan VoiceBot berasaskan kecerdasan buatan (AI), yang dianggarkan mampu meningkatkan produktiviti kutipan sebanyak 20%.
Titik Pulang Modal
Dalam perkembangan lain, AEON Bank dilaporkan kekal berada di landasan untuk mencapai titik pulang modal menjelang FY29.
Bagi FY27, AEON Credit menjangkakan bahagian kerugian daripada bank digital itu sekitar RM75 juta, berikutan pelaburan berterusan dalam pembangunan infrastruktur teknologi serta usaha memperoleh pelanggan baharu.
Bagaimanapun, momentum operasi AEON Bank terus menunjukkan perkembangan positif apabila berjaya mendapatkan kira-kira 1,000 peniaga di bawah segmen perbankan perniagaan, manakala pengeluaran pembiayaan terus meningkat.
Pengurusan turut menjangkakan pengeluaran pembiayaan peribadi mencecah sekitar RM20 juta tahun ini, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kadar hasil dan margin faedah bersih (NIM) menjelang akhir tahun.
Dalam jangka panjang, AEON Bank menyasarkan komposisi aset sebanyak 60% perbankan perniagaan dan 40% perbankan peribadi, dengan memanfaatkan deposit perniagaan yang berkos rendah bagi membiayai produk pembiayaan peribadi yang menawarkan pulangan lebih tinggi.
Sejajar semakan andaian kos kredit dan kerugian syarikat bersekutu, firma penyelidikan menurunkan unjuran pendapatan FY27, FY28 dan FY29 masing-masing sebanyak 6%, 8% dan 3%, namun berpandangan asas perniagaan AEON Credit kekal kukuh untuk menjana pertumbuhan pendapatan yang mampan dalam tempoh jangka sederhana. - DagangNews.com








