KUALA LUMPUR 13 Julai – Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH) akan membangunkan projek pembangunan bercampur bernilai pembangunan kasar (GDV) RM1.91 bilion di Subang Jaya susulan pemeteraian perjanjian membeli dan membangunkan tanah seluas 7.04 hektar (17.4 ekar) milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) pada harga RM197.9 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Astana Setia Development Sdn Bhd telah memeterai Perjanjian Jualan dan Pembangunan Bersyarat dengan RAC, sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pengangkutan, bagi memperoleh dua lot tanah di Pekan Country Height, Subang Jaya.
Menurut LSH, cadangan pembangunan itu melibatkan pembinaan sehingga enam blok kediaman yang akan dilengkapi komponen runcit dan komersial bersepadu, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
“Kos pembangunan keseluruhan projek itu dianggarkan berjumlah RM1.32 bilion.
“Pembangunan berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh lima tahun dengan kerja pembinaan dijangka bermula pada separuh kedua 2027 sebelum keseluruhan projek disasarkan siap pada separuh kedua 2032,” katanya dalam makluman tersebut.
LSH berkata, harga pembelian tanah tersebut bersamaan RM261 bagi setiap kaki persegi, mengambil kira penilaian bebas oleh Nawawi Tie Leung Property Consultants Sdn. Bhd. yang menganggarkan nilai pasaran tanah itu pada RM202 juta atau RM266 bagi setiap kaki persegi.
Syarikat itu telah membayar deposit pendahuluan sebanyak RM3.96 juta, manakala baki 90 peratus daripada harga pembelian akan dibiayai menerusi gabungan dana dalaman, pinjaman bank dan aktiviti pengumpulan dana melalui ekuiti.
Sehingga akhir Mac 2026, LSH memiliki baki tunai dan simpanan bank berjumlah RM9.67 juta selain simpanan tetap sebanyak RM81.87 juta di bank berlesen.
Bagi membiayai kos pembangunan projek itu, syarikat bercadang menggunakan gabungan dana dalaman, pembiayaan bank, pengumpulan dana melalui ekuiti serta kutipan pembayaran progresif daripada jualan hartanah.
Cadangan pemerolehan tanah itu dijangka dimuktamadkan menjelang suku ketiga 2027, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham, Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta kelulusan kawal selia lain.
Pada Mei lalu, LSH memaklumkan menerima tawaran daripada RAC selepas cadangan pembangunannya dipilih menerusi proses Permintaan Cadangan (RFP) yang dijalankan oleh badan berkanun itu bagi membangunkan tapak berkenaan. - DagangNews.com








