Lebih separuh pelabur institusi utama Malaysia komited tingkat pelaburan isu iklim, atasi purata Asia - AIGCC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih separuh pelabur institusi utama Malaysia komited tingkat pelaburan isu iklim, atasi purata Asia - AIGCC

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 Julai — Lebih separuh daripada pelabur institusi terbesar Malaysia kini komited meningkatkan pelaburan dalam isu iklim, menurut Asia Investor Group on Climate Change (AIGCC).

 

Tinjauan firma itu mendapati, situasi tersebut meletakkan negara ini mengatasi purata Asia ketika sebahagian pasaran global mula mengendurkan komitmen ke atas agenda iklim dan pembiayaan peralihan.

 

Ujarnya, sebanyak 55% daripada 11 pelabur institusi yang paling berpengaruh di Malaysia dengan menguruskan aset bernilai RM2.5 trilion berikrar untuk meningkatkan pelaburan dalam rumusan iklim.

 

"Pencapaian ini turut menunjukkan peningkatan sebanyak 15 mata peratusan berbanding tahun lalu dan mengatasi purata pelabur institusi di Asia yang hanya pada paras 48%," kata AICGG dalam kenyataan.

 

Selain itu, 27% daripada pelabur berkenaan terlibat dalam sokongan atau tindakan berkaitan advokasi dasar iklim dengan pihak berkepentingan, berbanding tiada langsung yang dikaji sepanjang tahun lepas.

 

Hasil kajian itu merupakan sebahagian laporan tahunan ketujuh 'The State of Investor Climate Transition in Asia 2026', yang menilai 240 pelabur paling berpengaruh di Asia menerusi 28 metrik pengukuran.

 

perubahan iklim_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

Bagaimanapun, AIGCC berkata, masih terdapat ruang penambahbaikan apabila 55% pelabur institusi di Malaysia mengintegrasikan isu iklim dalam tadbir urus, berbanding purata Asia yang mencecah 70%.

 

"Pada masa sama, cuma 55% pelabur ada dasar rasmi isu iklim dalam pelaburan berbanding purata Asia sebanyak 75%, manakala 27% menerbitkan laporan berbanding purata serantau iaitu 45%," tambahnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AIGCC, Rebecca Mikula-Wright berkata, peningkatan pelaburan dalam rumusan iklim adalah sejajar dengan sasaran Malaysia berhubung kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Beliau berkata, bagi mengekalkan momentum, kerjasama erat pelabur, syarikat korporat dan pembuat dasar diperlukan bagi mewujudkan kawal selia kondusif peralihan kepada ekonomi yang rendah karbon.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Rizal Rickman Ramli berkata, isu iklim adalah sebahagian risiko pelaburan perlu diurus secara menyeluruh.

 

"Sebagai pelabur institusi jangka panjang, PNB di bawah Rangka Kerja Kelestarian, menyasarkan pelaburan sebanyak RM15 bilion dalam pelbagai aset hijau dan aset peralihan menjelang 2030," jelas beliau.

 

Di samping itu, intensiti pelepasan karbon disasarkan 35% berbanding garis asas tahun kewangan 2022, serta bekerjasama dengan AIGCC bagi menyokong pelaksanaan strategi mampan. - DagangNews.com