KUALA LUMPUR 26 Sept - Ringgit dijangka mengukuh lebih lanjut pada suku keempat tahun kalendar 2024 (CY24) sehingga menutup tahun ini kepada RM4.03 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata MIDF Research.
Menurut firma penyelidikan itu, pembalikan prestasi ringgit, yang menghapuskan kelemahan awal pada 1HCY24, telah menyaksikan mata wang tempatan menjadi mata wang yang paling cemerlang di rantau ini.
Setakat tahun ini, katanya, ringgit telah mengukuh lebih daripada 9% dari akhir 2023, dengan mata wang tempatan baru-baru ini ditukar pada kadar di bawah RM4.20 berbanding dolar AS.
"Secara keseluruhan, kami menjangkakan lebih banyak dana akan mengalir ke pasaran berkembang, termasuk Malaysia, apabila Rizab Persekutuan (Fed) AS meneruskan pelonggaran polisi.
"Dengan kadar dasar semalaman (OPR) yang akan dikekalkan tidak berubah, perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil juga akan menyokong ringgit, memperoleh manfaat daripada kelemahan dolar AS.
"Oleh itu, kami mengubah unjuran kami untuk ringgit menutup 2024 dengan lebih kuat pada RM4.03 (akhir 2023: RM4.59) dan purata tahun sekitar RM4.56 (2023: RM4.56)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ringgit dan baht mata wang terbaik Asia pada September 2024, kata Sumitomo Mitsui
Sementara tu, MIDF Researh berkata, dengan inflasi terkawal, BNM dijangka mengekalkan OPR pada 3.00% pada tahun 2024.
Mengenai pasaran ekuiti pula, firma penyelidikan itu menjangkakan momentum positif akan berterusan pada suku keempat CY24 dipacu oleh aliran masuk dana asing, disokong ekonomi yang sihat serta prospek pendapatan korporat dan disokong oleh penilaian yang tidak membebankan.
"Walau bagaimanapun, kami nasihatkan untuk berhati-hati terhadap risiko penurunan yang mungkin datang dari luar berdasarkan isyarat yang telah terbukti, iaitu Indeks Ekonomi Utama AS (US LEI), dan lengkung hasil Perbendaharaan AS (UST).
"Mengambil kira prospek monetari (kecairan) dan fundamental yang masih positif, kami mengekalkan sasaran FBM KLCI, FBM Hijrah, dan FBM70 untuk 2024 pada 1,750 mata, 14,100 mata dan 18,900 mata.
"Menjelang tahun depan, kami menjangkakan ekonomi Malaysia akan kekal sihat dengan ramalan awal pertumbuhan KDNK pada 4.7% untuk 2025. Konsensus pasaran meramalkan FBM KLCI akan mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang sihat sebanyak +8.6% tahun ke tahun pada 2025," jelasnya.
MIDF Research berkata, sasaran awal pihaknya untuk 2025 adalah FBM KLCI mencecah 1,850 mata. - DagangNews.com








