Ringgit dan baht mata wang terbaik Asia pada September 2024, kata Sumitomo Mitsui | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ringgit dan baht mata wang terbaik Asia pada September 2024, kata Sumitomo Mitsui

Ringgit Malaysia dan Thai Baht mata wang terbaik Asia pada September 2024. -Gambar Freepik
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 Sept - Prestasi Ringgit Malaysia dan Thai Baht adalah yang terbaik dalam kalangan mata wang Asia pada bulan September dengan masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 3.6% dan 2.9%, kata Simitomo Mitsui Banking Corporation.

 

Kumpulan perbankan terkemuka Jepun itu berkata, keua-dua mata wang ini mungkin akan mengukuh atau bahkan mengalami sedikit penarikan semula selepas peningkatan sebelumnya.

 

Kata laporan penyelidikan bank itu, perkara ini mungkin berlaku jika data Amerika Syarikat (AS) yang akan datang lebih baik daripada jangkaan.

 

"Ringgit Malaysia dan Thai Baht telah menjadi mata wang Asia yang terbaik prestasinya pada bulan September, meningkat sebanyak 3.6% dan 2.9% pada masa penulisan. 

 

"Dengan pasangan mata wang itu berada pada tahap teknikal yang kukuh, kami berpendapat mata wang ini mungkin akan mengukuh atau bahkan mengalami sedikit penarikan semula selepas peningkatan sebelumnya," katanya.

 

Menurut Sumitomo Mitsui, berdasarkan anggaran pramesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS untuk bulan September, pakar strategi meramalkan ringgit bernilai sekitar RM4.20 berbanding dolar AS dan Thai Baht pada 33.00/AS$1 menjelang akhir 2024.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ringgit cecah RM4.14 berbanding dolar AS buat kali pertama sejak November 2021

 

"Pada nilai RM4.1702 berbanding dolar AS pada masa penulisan, ringgit hampir ke tahap bawah Bollinger Band (4.1784).

 

"Indeks Kekuatan Relatif (RSI) juga berada pada 19.89, yang lebih rendah daripada had 30, menunjukkan keadaan jual berlebihan. Momentum adalah kuat ke arah penurunan," jelasnya.

 

Tambah Simitomo Mitusi, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam sebulan yang lalu mengekalkan pendirian neutral semasa mesyuarat dasar monetarinya pada 5 September, mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.99%. 

 

"Surplus perdagangan mengecewakan jangkaan Bloomberg pada bulan Ogos, pada RM 5.67 bilion berbanding RM 10.80 bilion. 

 

"Inflasi telah mereda kepada 1.9% tahun ke tahun pada bulan Ogos daripada 2% sebelum ini tetapi mempunyai potensi untuk pulih dalam bulan-bulan akan datang. Keadaan monetari semasa adalah ketat dan mungkin meredakan pertumbuhan dan keadaan inflasi dalam suku-suku akan datang. 

 

"Setelah beberapa pengukuhan berlaku, Pakar Strategi melihat ruang untuk ringgit bergerak ke RM4.25/AS$1 sebelum turun ke julat RM4.15-RM4.20 berbanding dolar AS pada suku keempat 2024," ujarnya dalam laporan bertarikh 24 September 2024. - DagangNews.com