KUALA LUMPUR 1 Julai - Digital Nasional Bhd (DNB) memasuki fasa baharu pembangunan rangkaian 5G negara dengan menggandakan kapasiti rangkaiannya kepada 200 megahertz (MHz) susulan peralihan Malaysia kepada model Dwi Rangkaian (Dual Network) 5G
Ini selepas U Mobile menamatkan penggunaan rangkaian syarikat itu berkuat kuasa 30 Jun 2026.
DNB berkata, sehubungan itu, syarikat sedang mengaktifkan spektrum 3.3 hingga 3.4 gigahertz (GHz) atau dikenali sebagai "F-Zero" yang diperuntukkan baru-baru ini, menjadikan jumlah pegangan spektrum jalur pertengahan DNB meningkat kepada 200MHz, iaitu yang terbesar di negara ini.
Menurut DNB, peningkatan spektrum itu secara efektif menggandakan kapasiti rangkaiannya bagi menampung pertumbuhan trafik data serta permintaan pengguna yang terus meningkat.
"Lebih penting, peningkatan kapasiti ini membolehkan DNB bersama para pelanggannya menyokong fasa baharu pendigitalan perusahaan, termasuk pembangunan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), automasi, Internet Benda (IoT) industri serta perkhidmatan misi kritikal.
"Dengan platform 5G yang kukuh dan berprestasi tinggi, perusahaan di Malaysia kini berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mempercepat inovasi dan memperluas penggunaan teknologi digital," katanya dalam kenyataan.
Naik Taraf Tapak Rangkaian
Setakat ini, lebih 50 tapak rangkaian telah dinaik taraf bagi meningkatkan prestasi rangkaian, khususnya di kawasan yang merekodkan penggunaan data yang tinggi.
DNB berkata, penggunaan data mudah alih bulanan purata rakyat Malaysia kini meningkat kepada kira-kira 40 gigabait (GB) bagi setiap pengguna berbanding sekitar 19GB ketika pandemik COVID-19.
Pada masa sama, kadar penembusan perkhidmatan 5G negara telah melebihi 88%, bersamaan lebih 30.3 juta langganan, sekali gus mencerminkan penerimaan kukuh terhadap teknologi tersebut dalam kalangan pengguna dan pemain industri.
Katanya, DNB terus mengendalikan sebahagian besar trafik mudah alih 5G negara dengan sokongan pemegang saham utama iaitu CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd dan YTL Communications Sdn. Bhd., yang secara kolektif telah melabur lebih RM2 bilion bagi menyokong pembangunan rangkaian berkenaan.
Dalam fasa pertumbuhan seterusnya, DNB akan memberi tumpuan kepada pendigitalan sektor perusahaan menerusi aplikasi kecerdasan buatan (AI), automasi serta Internet Kebendaan (IoT) industri.
Syarikat itu juga akan terus melabur dalam teknologi 5G-Advanced dan keupayaan pengurusan rangkaian autonomi berasaskan AI bagi memastikan infrastruktur digital negara kekal bersedia untuk memenuhi keperluan masa hadapan.
Memenuhi Keperluan Masa Depan
Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Datuk Azman Ismail berkata, fasa baharu pembangunan rangkaian itu akan dipacu oleh kapasiti yang lebih besar, kerjasama strategik yang lebih kukuh serta pelaksanaan yang lebih berkesan.
"Dengan permintaan terhadap sambungan digital yang terus berkembang serta kemunculan peluang baharu dalam AI dan pendigitalan perusahaan, kami komited menyediakan rangkaian yang bukan sahaja memenuhi keperluan hari ini, malah menjadi asas kepada pembangunan ekonomi digital Malaysia pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata, operasi dan penyampaian perkhidmatan rangkaian DNB kekal berjalan lancar sepanjang proses peralihan kepada model dwi rangkaian tanpa menjejaskan pengalaman pengguna atau pelanggan perusahaan. - DagangNews.com








