KUALA LUMPUR 8 Mei – Tekanan kenaikan kos pembinaan disebabkan harga diesel lebih mahal dijangka memberi cabaran besar kepada syarikat hartanah tempatan, seperti Sime Darby Property Berhad.
Menurut analisis RHB Research, kumpulan berkenaan namun dilihat masih berada pada kedudukan kukuh untuk mengekalkan pertumbuhan jangka panjangnya meskipun berdepan pelbagai isu luaran semasa.
Berdasarkan situasi itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat pemaju berkenaan dengan harga sasaran (TP) baharu iaitu RM2.15 sesaham berbanding RM2.33 sebelum ini.
"Sime Darby Property kekal bagi pilihan utama sektor hartanah disokong portfolio pelbagai produk, pengembangan aset pelaburan dan pendekatan pembiayaan inovatif bagi projek baharu," katanya.
Semua faktor ini ujar RHB Research, dijangka memacu pertumbuhan jangka panjang sambil membantu mengurangkan ketidaktentuan pendapatan, terutama dalam persekitaran kos yang semakin meningkat.
Kumpulan itu tambahnya, sedang mempertimbangkan dana pembangunan projek berskala institusi seperti pusat data (DC), hartanah komersial dan penginapan pelajar tanpa membebankan kewangan syarikat.
Jelasnya, Sume Darby Property berpotensi meraih keuntungan daripada pelupusan tanah apabila projek dimasukkan ke dalam dana itu sebelum memperoleh pulangan lebih besar apabila dana matang kelak.

"Dalam pada itu, DC pertama jenis 'core-and-shell' milik kumpulan itu siap dan dijangka menjana hasil bulan ini melalui kontrak pajakan selama 20 tahun bernilai RM2 bilion," kata RHB Research.
Ujar firma itu, DC tersebut bersama beberapa aset industri lain berpotensi membentuk portfolio REIT syarikat pada masa hadapan dan ketika ini masih melalui proses kelulusan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, ia menilai permintaan terhadap produk hartanah Sime Darby Property kekal berdaya tahan disokong dengan kekuatan projek perbandaran dan pembangunan taman industri yang strategik.
RHB Research turut melihat segmen industri sebagai pemacu utama bagi pertumbuhan kerana syarikat multinasional dijangka terus mempelbagaikan operasi dan kemudahan penyimpanan mereka di Malaysia.
"Ia susulan kesan 'perang' perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, ketegangan Rusia-Ukraine serta konflik di rantau Timur Tengah yang dijangka berlarutan lebih lama," jelasnya lagi.
Bagaimanapun, firm itu mengakui terdapat kebimbangan terhadap peningkatan kos pembinaan akibat kenaikan harga diesel terutama bagi projek Sime Darby Property yang belum mencapai tahap siap 80%.
Tambah RHB Research, meskipun klausa perubahan harga (VOP) kontrak hanya melibatkan sebahagian kecil kos pembinaan, dengan keseluruhan kos projek masih banyak bergantung kepada harga tetap.
Justeru, ia menurunkan unjuran hasil FY26 hingga FY28 antara 1% hingga 5% serta menyemak semula TP berdasarkan diskaun lebih tinggi kepada nilai aset bersih nyata (RNAV). - DagangNews.com








