Pengeluaran minyak mentah Malaysia susut 5.5% kepada 43 juta tong pada Q1 2026 — DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluaran minyak mentah Malaysia susut 5.5% kepada 43 juta tong pada Q1 2026 — DOSM

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 5 Jun — Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan pengeluaran minyak mentah dan kondensat negara mencatatkan penyusutan 5.5% tahun ke tahun (YoY) bagi suku pertama 2026 (1Q26).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah pengeluaran bagi tempoh itu adalah 43.0 juta tong berbanding 45.5 juta tong yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.


Penurunan ini dipengaruhi penguncupan pengeluaran minyak mentah sebanyak 9.4% kepada 28.1 juta tong, namun pengeluaran kondensat tumbuh positif kira-kira 3.0% dengan jumlah 14.9 juta tong.


"Bagi sektor gas asli, pengeluaran merekodkan penyusutan sebanyak 2.1% kepada 765.8 bilion kaki padu berbanding penguncupan negatif 1.0% pada suku sebelumnya," jelas beliau dalam kenyataan.


Mohd Uzir menambah, purata harga 'Lifting' berpemberat (WALP) bagi minyak mentah dan kondensat naik kepada AS$84.0 setong (4Q25: AS$66.1 setong), selari aliran kenaikan harga Brent dan WTI.

 

dosm minyak_DagangNes2026
 

dosm minyak_DagangNes2026


 

Nilai eksport petroleum mentah dan kondensat ujarnya, berkurang kepada sebanyak RM5.2 bilion (4Q25: RM6.1 bilion), manakala eksport gas asli cecair (LNG) didapati susut kepada RM12.9 bilion.


Sepanjang tiga bulan itu, DOSM mencatatkan nilai import petroleum mentah dan kondensat menurun secara ketara kepada hanya kira-kira RM7.3 bilion berbanding RM11.5 bilion pada suku sebelumnya.


"Dari segi sumbangan ke atas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sektor perlombongan dan pengkuarian, berdasarkan pada harga malar ia mencatatkan nilai RM24.9 bilion," tambah Mohd Uzir.


Sementara itu jelas beliau, import LNG didapati berkurangan kepada kira-kira RM1.3 bilion berbanding RM1.6 bilion yang pernah direkodkan pada suku sebelumnya. - DagangNews.com