KUALA LUMPUR 5 Jun - Semua anggota pengaman Malaysia yang berkhidmat di bawah Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 di selatan Lubnan dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan susulan serangan mortar yang berlaku di kawasan operasi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Serangan itu dituju kepada sebuah kedudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sektor timur kawasan misi berkenaan.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan insiden tersebut berlaku di pangkalan UNP 7-2 yang dikendalikan oleh Batalion Sepanyol di Sektor Timur kira-kira pukul 11.20 malam waktu tempatan pada 3 Jun lalu.
"Serangan itu mengakibatkan tiga anggota pengaman Sepanyol cedera, dengan seorang daripada mereka meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami pada pagi 4 Jun," menurut ATM dalam satu kenyataan hari ini.
ATM turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota pengaman Sepanyol yang terkorban serta mendoakan agar anggota yang cedera segera pulih.
Pihaknya mengesahkan semua anggota MALBATT yang ditempatkan di selatan Lubnan berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas akibat insiden tersebut.
Langkah keselamatan dipertingkat
ATM turut mengecam sekeras-kerasnya sebarang serangan yang menyasarkan pasukan pengaman, sambil menyifatkan serangan tembakan tidak langsung terhadap anggota PBB sebagai satu pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Menurut ATM, serangan tersebut juga melanggar Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB.
Susulan kejadian itu, tahap keselamatan bagi kontinjen Malaysia telah dipertingkatkan serta-merta ke tahap amaran tertinggi.
Profil keselamatan kem dan perlindungan pasukan turut dinaikkan kepada Status Tahap Merah (Red Alert).
Sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan yang dipertingkatkan, semua pergerakan rondaan telah digantung sementara.
Kontinjen Malaysia kini beroperasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Peraturan Penglibatan Pertahanan (Rules of Engagement) paling ketat yang ditetapkan oleh ibu pejabat UNIFIL.
Pantau situasi semasa di lapangan
ATM berkata, pihaknya terus memantau perkembangan semasa di lapangan secara rapi menerusi Markas Angkatan Bersama.
Pemantauan itu bertujuan memastikan tahap perlindungan dan keselamatan tertinggi dapat diberikan kepada anggota Malaysia yang melaksanakan mandat pengaman PBB di zon konflik berkenaan. - DagangNews.com








