Pengerusi Perak Corp, Redza Rafiq dapat mandat 100%, kekal menganggotai Lembaga Pengarah Majuperak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengerusi Perak Corp, Redza Rafiq dapat mandat 100%, kekal menganggotai Lembaga Pengarah Majuperak

REDZA RAFIK ABDUL RAZAK
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 5 Jun — Tokoh korporat, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak mengekalkan kedudukan dalam Lembaga Pengarah Majuperak Holdings Berhad selepas pemegang saham meluluskan pemilihannya.

 

Pengerusi Perak Corp dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) itu malah meraih sokongan 100% pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh.


Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, usul ketiga membabitkan pemilihan semulanya sebagai pengarah yang bersara mengikut giliran di bawah Fasal 15.2 perlembagaan syarikat itu diluluskan. 


"Beliau memperoleh sokongan sebulat suara dengan kesemua 65 pemegang saham Majuperak mewakili 189.87 juta saham menyokong usul berkenaan tanpa sebarang bantahan," jelas kumpulan tersebut.


Redza Rafik, 58, merupakan antara individu penting dalam landskap pembangunan ekonomi Perak dan wilayah Utara Semenanjung apabila berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif PKNPk sejak Februari 2021.


Di bawah kepimpinannya, beberapa inisiatif strategik negeri itu dapat dipacu termasuk pembangunan projek kemajuan koridor industri berimpak tinggi seperti Lumut Maritime Industrial City (LuMIC).


Graduan Universiti Hull, Britain itu juga berpengalaman luas dalam sektor korporat melalui jawatan pengurusan kanan termasuk di Cyberview Sdn Bhd, dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).


Selain itu, Redza Rafik yang pernah menerima pingat Raja Belgium, suatu ketika berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), dan Sime Darby Property Berhad.


Dalam AGM yang berlangsung Bandar Meru Raya itu, kesemua sembilan usul yang dibentangkan pihak pengurusan Majuperak berjaya diluluskan oleh para pemegang saham melalui kaedah pengundian.


"Antara yang diluluskan ialah pembayaran yuran pengarah berjumlah RM411,000 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dan manfaat pengarah sehingga RM450,000 sehingga AGM berikut," katanya.


Majuperak turut memperoleh kelulusan pemegang saham bagi cadangan kuasa kepada lembaga pengarah untuk memperuntukkan dan menerbitkan saham baharu menurut Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016.


Syarikat memaklumkan keputusan pengundian disahkan oleh SKY Corporate Services Sdn Bhd yang bertindak sebagai pemeriksa bebas bagi pengundian AGM tersebut. - DagangNews.com