Oriental Interest lancar Myra Embun di Jenderam sasar keluarga muda, harga seunit bermula RM250,000 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Oriental Interest lancar Myra Embun di Jenderam sasar keluarga muda, harga seunit bermula RM250,000

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 5 Jun — Segmen pembangunan kediaman Oriental Interest Berhad (OIB), Myra memperkenalkan projek pembangunan bercampur terbaharunya, Myra Embun di Jenderam, Selangor.

 

Langkah pemaju hartanah itu sebagai memenuhi permintaan keluarga muda yang semakin mengutamakan akses luas, kemudahan harian dan gaya hidup bersepadu berbanding faktor lokasi semata-mata.


Projek yang dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 2.05 hektar, menggabungkan komponen kediaman servis, ruang peruncitan dan hotel butik dalam satu bentuk pembangunan lebih bersepadu.


"Myra Embun terletak kira-kira lima kilometer dari Putrajaya, disasarkan bagi memenuhi permintaan kediaman meningkat di koridor pertumbuhan Putrajaya-Cyberjaya-Dengkil," jelas OIB dalam kenyataan.


Lokasi ini ujarnya, mempunyai akses terus ke beberapa lebuh raya utama termasuk MEX, PLUS dan Lingkaran Putrajaya, sekali gus membolehkan hubungan yang baik di kawasan Lembah Klang Selatan.

 

Akil Hassan Myra
AKIL HASSAN



Ketua Bahagian Pembangunan dan Sumber Manusia Myra, Akil Hassan berkata, pembeli masa kini lebih mementingkan keluasan ruang, dan persekitaran yang menyokong keperluan keluarga jangka panjang.


Ia juga menawarkan beberapa ciri tambahan termasuk parkir di aras sama bagi unit terpilih, pakej kelengkapan rumah separa siap serta sistem keselamatan berasaskan kad akses pintar penghuni.


"Dengan perkembangan pesat lokasi ini, kami percaya permintaan terhadap kediaman yang menawarkan keseimbangan gaya hidup pinggir bandar akan terus berkembang,” kata beliau dalam kenyataan sama.


Ujar Akil, Myra Embun akan menampilkan dua menara kediaman yang menawarkan sejumlah 594 unit kediaman servis dalam dua fasa pembangunan, serta turut menyediakan lima pilihan susun atur rumah.


Keluasan unit antara 700 kaki persegi hingga 1,490 kaki persegi melibatkan dua, tiga dan empat bilik tidur, manakala harga bermula sekitar RM250,000 bagi unit dengan dua bilik tidur terpilih.

 

myra Oriental Interest_DagangNews2026


Selain itu, pembangunan ini merangkumi ruang peruncitan, premis makanan dan minuman (F&B), pasar raya, hotel butik, kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) serta pelbagai fasiliti komuniti.


"Ini termasuk ruang kerja bersama, kawasan pertanian komuniti, dewan serbaguna dan taman permainan  dengan konsep pembangunan diinspirasikan daripada elemen budaya Melayu iaitu 'tikar'," kata Akil.


Pelancaran Myra Embun mengukuhkan kehadiran jenama Myra dikendalikan OIB di koridor pertumbuhan selatan Lembah Klang susulan sambutan positif terhadap projek-projek terdahulu di Myra Saujana.


Kumpulan berkenaan yakin, projek terbaharu itu sekali gus mencerminkan keyakinan syarikat terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang pasaran kediaman di kawasan tersebut. - DagangNews.com