Mandat biodiesel B15 tingkatkan penggunaan minyak sawit tempatan, stabilkan pendapatan peneroka - FELDA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mandat biodiesel B15 tingkatkan penggunaan minyak sawit tempatan, stabilkan pendapatan peneroka - FELDA

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Jun – Pelaksanaan mandatori campuran biodiesel negara daripada B10 kepada B15 dapat mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap pasaran eksport yang tidak stabil seterusnya meningkatkan permintaan domestik terhadap minyak sawit mentah (CPO) serta menstabilkan pendapatan peneroka.

 

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata peningkatan mandat campuran biodiesel itu merupakan langkah strategik bagi menstabilkan harga komoditi sawit di pasaran domestik, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan harga global.

 

Beliau berkata, industri biodiesel negara sebelum ini beroperasi di bawah kapasiti sebenar berikutan mandat penggunaan yang rendah, iaitu B10 di pam runcit dan B7 bagi sektor industri yang mengehadkan permintaan tempatan terhadap minyak sawit.

 

“Dengan kewujudan kira-kira 20 loji biodiesel di Malaysia, pelaksanaan B15 dijangka membuka ruang kepada peningkatan segera penggunaan domestik yang akan menyerap lebih banyak pengeluaran CPO negara yang sebelum ini banyak bergantung kepada eksport.

 

“Apabila krisis global berlaku, kita berdepan peningkatan kos baja dan logistik, namun pada masa sama harga minyak mentah dunia juga naik dan ini menyokong kenaikan harga minyak sawit,” katanya, lapor NST.

 

t

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Felda dan Encorp Bhd bagi pembangunan projek perumahan kakitangan agensi itu.

 

Ahmad Shabery berkata, penggunaan domestik yang lebih tinggi melalui B15 akan membantu menstabilkan harga serta melindungi pendapatan peneroka Felda daripada turun naik pasaran global.

 

Malaysia ketika ini mengeluarkan kira-kira 20 juta tan minyak sawit setahun, dengan sekitar 3 juta tan digunakan untuk produk makanan tempatan seperti minyak masak dan marjerin.

 

Sementara itu, kira-kira 1 juta tan digunakan untuk biodiesel, manakala baki sekitar 15 hingga 16 juta tan lagi adalah untuk pasaran eksport antarabangsa yang lebih berisiko dan tertakluk kepada ketidaktentuan harga serta dasar perdagangan luar.

 

Beliau berkata struktur ini menyebabkan industri sawit negara terlalu bergantung kepada pasaran luar, sekali gus mendedahkan sektor tersebut kepada risiko sekatan bukan tarif seperti naratif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), termasuk dakwaan berkaitan isu penebangan hutan.

 

“Pasaran eksport memang penting kerana membawa masuk pendapatan negara, namun kita juga berdepan negara yang kadangkala mengenakan pelbagai syarat, kuota dan cukai terhadap minyak sawit kita.

 

“Peningkatan penggunaan domestik akan mengurangkan pendedahan Malaysia kepada tekanan tersebut, selain mengukuhkan kedudukan industri sawit dalam negara sendiri,” katanya.

 

t

 

Dalam pada itu, beliau berkata ujian operasi oleh syarikat perladangan seperti FGV Holdings Bhd terhadap penggunaan biodiesel B100 membuktikan Malaysia mempunyai keupayaan teknikal untuk meningkatkan penggunaan bahan api berasaskan sawit pada skala lebih besar.

 

Katanya, secara teori, Malaysia berpotensi meningkatkan penggunaan domestik antara 5 hingga 6 juta tan tanpa menjejaskan rantaian bekalan makanan negara.

 

Beliau berkata peningkatan mandat B15 ini turut dilihat tepat pada masanya ketika pasaran antarabangsa semakin mengetatkan piawaian ESG dan dasar kemampanan yang memberi kesan kepada eksport minyak sawit negara.

 

“Jika kita terlalu bergantung kepada pasaran luar, kita perlu berdepan semua cabaran itu. Tetapi jika kita gunakan sendiri, ia lebih menguntungkan industri tempatan dan melindungi pendapatan peneroka,” katanya. - DagangNews.com