PublicInvest: Ketidaktentuan geopolitik beri kelebihan kepada harga sarung tangan getah Hartalega | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PublicInvest: Ketidaktentuan geopolitik beri kelebihan kepada harga sarung tangan getah Hartalega

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 Julai – Ketegangan geopolitik yang kembali memuncak di Timur Tengah dijangka memberi rangsangan kepada harga jualan purata (ASP) sarung tangan getah Hartalega Holdings Berhad.

 

Impaknya namun menurut Public Investment Bank (PublicInvest) dijangka lebih sederhana berbanding lonjakan yang berlaku pada Mac 2026 berikutan pelanggan mula berhati-hati dalam membuat tempahan.

 

Justeru, ia menaikkan saranan daripada 'underperform' kepada 'neutral' selepas harganya jatuh harga baru-baru ini, dan mengekalkan harga sasaran (TP) 98 sen berasaskan 0.76 kali nilai buku unjuran FY27.

 

"Walaupun konflik di Timur Tengah meningkatkan ketidaktentuan kos bahan mentah, pelanggan Hartalega ada cukup stok bagi tempoh lima bulan, dan mengurangkan pembelian panik sebelum ini," tambahnya.

 

Ujar PublicInvest, situasi itu menyebabkan sebarang peningkatan margin hasil kenaikan ASP dijangka terhad, dan pembekal bahan mentah mempelbagaikan sumber bagi mengurangkan risiko gangguan rantaian.

 

Pada masa sama, kumpulan berdepan cabaran pelarasan tarif gas asli dijadualkan mulai Oktober 2026 yang dijangka meningkatkan kos pengeluaran, kerana belum ada lagi pemindahan kos kepada pelanggan.

 

Hartalega_DagangNews2026

 

Tekanan harga dalam industri itu juga masih berterusan apabila lambakan bekalan di pasaran global, khususnya daripada pengeluar China, menyebabkan ASP merosot, serta menjejaskan margin Hartalega.

 

"Selain itu, pelanggan kekal sensitif terhadap harga dan ada sanggup beralih kepada pembekal yang menawarkan harga rendah meskipun berbeza kualiti produk dan piawaian ESG," jelas PublicInvest.

 

Dari sudut operasi, kumpulan itu mencatat kadar penggunaan kilang sekitar 85%, dan pengaktifan semula secara berperingkat Loji 3, yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang Disember 2026.

 

Firma itu berkata, teknologi yang digunakan Hartalega di Loji 9 turut berjaya mengurangkan kos operasi kira-kira 10% menerusi peningkatan kecekapan tenaga, produktiviti pekerja dan kapasiti pengeluaran.

 

Pasaran Amerika Syarikat (AS) ujar PublicInvest, kekal stabil apabila tarif 10% ke atas eksport sarung tangan tidak berubah, membolehkan syarikat terus menambah bahagian kepada kira-kira 65% daripada 60%.

 

"Dengan kedudukan tunai bersih yang berjumlah RM1.1 bilion, kumpulan ini turut menilai peluang luas untuk penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam syarikat penjagaan kesihatan," tambahnya.

 

Sementara itu, isu pertikaian cukai bernilai RM101 juta disifatkan firma berkenaan sebagai boleh diurus dan tidak dijangka memberi kesan material kepada kedudukan kewangannya. - DagangNews.com