Rakuten: Kenaikan kos bahan api ancam permintaan penghantaran makanan dan e-hailing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rakuten: Kenaikan kos bahan api ancam permintaan penghantaran makanan dan e-hailing

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 Julai – Kenaikan kos bahan api dikhuairi memberi tekanan kuat kepada penghantaran makanan dan e-hailing apabila majoriti pengguna bersedia mengurangkan penggunaan perkhidmatan itu.

 

Menurut Rakuten Insight menerusi tinjauan 'Malaysia Cost Pressure Pulse (Wave 3)', peningkatan caj mencerminkan cabaran besar kepada model perniagaan yang bergantung tinggi kepada faktor kemudahan.

 

Kajian firma itu mendapati 82% daripada 1,003 responden akan mengubah corak perbelanjaan sekiranya tambang e-hailing dan caj penghantaran makanan terus naik akibat kos bahan api yang lebih tinggi.

 

"Daripada jumlah itu, 28% memilih beralih kepada alternatif lebih murah seperti pengangkutan awam, memandu sendiri atau memasak di rumah, manakala 27% mengurangkan kekerapan penggunaan," katanya.

 

Selain itu ujar Rakuten, 17% responden hanya menggunakan perkhidmatan ketika promosi ditawarkan, sementara 10% menyatakan mereka akan berhenti sepenuhnya jika harga perkhidmatan terus meningkat.

 

Hanya 8% responden akan terus menggunakan perkhidmatan seperti biasa kerana mengutamakan faktor kemudahan, sekali gus menunjukkan ada isu sensitiviti terhadap kenaikan harga yang semakin ketara.

 

ekonomi gig_DagangNews2026

 

Ketua Penyelidikan Komersial Rakuten Insight Malaysia, Ming Yao Kong berkata, pengguna kelazimannya mudah menerima kenaikan harga sekiranya disertakan penambahbaikan perkhidmatan atau ciri baharu.

 

"Kenaikan harga berpunca daripada kos bahan api sering dianggap memindahkan beban kepada pengguna tanpa menawarkan nilai tambah, dan mendorong mereka mencari pilihan yang menjimatkan," jelasnya.

 

Tambah beliau, pengguna dalam tinjauan itu juga cepat menyedari kenaikan tambang dan pengurangan promosi berbanding tempoh menunggu yang lebih lama atau kekurangan pemandu serta penghantar. 

 

Keadaan semasa ujar Yao Kong, menunjukkan pengendali perkhidmatan berkemungkinan memilih menaikkan harga atau mengurangkan diskaun terlebih dahulu bagi mengimbangi peningkatan kos operasi.

 

Tinjauan itu mendapati 56% responden cenderung mengurangkan perbelanjaan makan di luar sebelum mengurangkan penggunaan perkhidmatan penghantaran makanan sekiranya kos sara hidup meningkat.

 

"Rakuten berpandangan perkhidmatan e-hailing dan penghantaran makanan masih kekal terdedah ketika pengguna mengetatkan perbelanjaan kerana ada banyak pilihan pengganti lebih berbaloi," katanya.

 

Caj tambahan seperti yuran penghantaran, yuran perkhidmatan dan tambang waktu puncak menjadikan sebarang kenaikan harga lebih ketara serta berpotensi menjejaskan pertumbuhan industri. - DagangNews.com