KUALA LUMPUR 28 Julai – ES Ceramics Technology Berhad mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh dengan hasil bertambah 10.83% kepada RM132.62 juta bagi suku keempat berakhir 31 Mei 2026 (4QFY26).
Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, pertumbuhan positif berbanding RM119.66 juta diraih pada tempoh yang sama tahun lalu, seiring dengan lonjakan untung bersih sebanyak 122.41%.
Katanya, keuntungan selepas cukai (PAT) naik kepada RM4.69 juta daripada RM2.11 juta pada 4QFY25, didorong oleh penjajaran asas kos struktur serta kawalan ketat kos dalam bahagian bahan binaan.
"Perkembangan itu sekali gus meningkatkan margin keuntungan kumpulan dengan segmen bahan binaan kekal sebagai pemacu utama apabila sumbangan hasil sebanyak RM126.93 juta," jelas ES Ceramics.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) untuk segmen itu tambahnya, turut melonjak kepada sebanyak RM5.24 juta berbanding hanya kira-kira RM0.70 juta dicatatkan pada suku sepadan tahun kewangan lalu.
Bagaimanapun, segmen pembuatan mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) RM0.82 juta, berbanding PBT RM4.67 juta sebelumnya disebabkan hasil rendah serta ketiadaan keuntungan melalui pelupusan kilang.

Bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026 (FY26), ES Ceramics mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 139.54% kepada RM15.43 juta daripada RM6.44 juta pada tahun sebelumnya.
"Justeru, Lembaga Pengarah bersetuju mengisytiharkan pengagihan dividen biasa satu peringkat sebanyak RM0.005 sesaham kepada semua pemegang saham bagi tahun kewangan tersebut," katanya lagi.
Melangkah ke hadapan, kumpulan menyatakan komitmen untuk memperkukuh kedudukan pasarannya di Johor mengambil peluang kerancakan sektor hartanah dipacu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan kenaikan kos operasi seperti tarif elektrik serta pelarasan gaji minimum, ES Ceramics kekal optimis terhadap prospek jangka sederhana dan panjang.
Kumpulan berkenaan jelasnya, turut berhati-hati melalui perancangan strategi kecekapan operasi dan pengurusan aliran tunai yang berhemat sepanjang tahun kewangan 2027 (FY27). - DagangNews.com








